Speedy Tigers berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah 2025 edisi ke-31, selepas menewaskan Kanada 3-2 pada aksi kedua ’round robin’.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak itu tertangguh selama dua jam daripada waktu sebenar susulan keadaan cuaca hujan lebat. Namun situasi itu tidak menghalang Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan menampilkan aksi bertenaga, sekaligus mencuri tiga mata daripada pertemuan tersebut.
Turun dengan misi memburu kemenangan, Speedy Tigers hanya memerlukan masa lima minit untuk merobek gawang Kanada menerusi gol padang yang disudahkan oleh Mohd Fitri Saari, susulan Gerakan yang dimulakan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook.
Namun, kem negara dikejutkan dengan dua gol pantas Kanada masing-masing pada minit ke-13 dan ke-17 menerusi gol padang oleh Sean Davis dan Matthew Sarmento.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Sarjit Singh kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol penyamaan pada minit ke-20.
Lima minit kemudian, giliran Faizal Saari mencetak nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti dan gol itu membolehkan Malaysia mengutip tiga mata pertama di saingan tersebut.
Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui anak buahnya memulakan aksi dengan baik tetapi masalah penyudah dilihat perkara utama yang harus diperbaiki segera, berikutan banyak peluang tidak disempurnakan dalam bentuk jaringan.
Jelasnya, kejohanan ini berada di tahap tertinggi, di mana semua pasukan memiliki kekuatan tersendiri maka setiap peluang yang dicipta tidak boleh dipersia-siakan. Bagaimanapun beliau tetap memuji ketenangan dipamerkan anak buahnya pada perlawanan tersebut meskipun diberi tekanan hebat oleh Kanada.
“Kami memulakan perlawanan dengan baik, menggerakkan bola dengan teratur dan mencipta peluang untuk menambah jaringan, tetapi gagal memanfaatkannya.
“Kegagalan itu membenarkan Kanada bangkit semula. Kami bernasib baik kerana tidak dihukum menerusi pukulan sudut penalti mereka. Mereka memperoleh lebih banyak sudut penalti daripada kami dan jika mereka menjaringkan dua, mungkin kami sudah tewas.
“Jadi kami perlu belajar menamatkan permainan lebih awal kerana pada minit-minit akhir apa sahaja boleh berlaku. Namun pada aksi ini, pemain kelihatan lebih tenang berbanding perlawanan lalu walaupun Kanada memberi tekanan kuat pada penghujung permainan.
“Kami kerap hilang bola dan melakukan banyak kesilapan, dan perkara itu perlu diperbaiki. Seperti saya katakan, semua pasukan di sini kuat. Kanada hampir mengejutkan Belgium dan layak mendapat mata. Ini menunjukkan tahap kejohanan ini sangat tinggi. Sebab itu setiap peluang mesti disempurnakan,” kata Sarjit selepas perlawanan.
Keputusan itu, menyaksikan Malaysia mengutip empat mata keseluruhan selepas dua perlawanan, untuk berada ditangga kedua kedudukan pusingan ’round robin’ manakala New Zealand di tangga teratas meskipun berkongsi mata sama dengan Speedy Tigers.
Mengulas mengenai perlawanan seterusnya Rabu ini berdepan India, Sarjit mengakui persiapan rapi perlu dibuat dan tempoh rehat yang dimiliki perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki segala kelemahan.
“Untuk perlawanan seterusnya menentang India, bagi saya semua aksi di kejohanan ini sukar kerana setiap pasukan datang dengan persiapan rapi. Kami perlu cipta peluang dan menjaringkan gol,” ujarnya.









