Skuad hoki kebangsaan terbang ke Jerman, hari ini (6 Julai) dari Antwerp, Belgium untuk fasa kedua jelajah Eropah dan jurulatih, Sarjit Singh berpendapat Speedy Tigers bermain dengan baik dan perlu mengekalkan momentum tersebut.

“Memang tidak diragui pasukan negara bermain baik sewaktu menentang skuad Belgium ‘B’ dalam ketiga-tiga aksi persahabatan. Kami menang dalam dua perlawanan sukar dan sekali kalah.

“Apa yang lebih penting ialah persembahan pasukan dalam setiap perlawanan,” kata Sarjit selepas Malaysia menewaskan Belgium 3-2 dalam aksi persahabatan ketiga pada Jumaat.

Skuad kebangsaan mencatat kemenangan 3-2 pada pertemuan pertama (1 Julai), tumpas 2-4 dalam perlawanan kedua (3 Julai), sebelum kembali menemui rentak dengan satu lagi kemenangan.

“Ada detik yang menarik sewaktu kami mendominasi permainan dan dalam masa sama terpaksa bekerja keras bagi menghalang Belgium daripada menjaringkan gol. Tetapi pasukan ada mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Kami mahu memanfaatkan jelajah Eropah ini bagi memberi peluang kepada pasukan menimba pengalaman, terutama kepada para pemain muda.

“Belgium mempunyai dua pasukan dan mereka membuat penggiliran pemain dalam Liga Pro Hoki FIH. Kami bermain dalam pertarungan sengit berdepan pemain-pemain berpengalaman mereka. Saya bangga cara kami bermain. Pujian harus diberikan kepada pasukan,” katanya.

Untuk rekod, skuad lelaki Belgium menamatkan kempen Liga Pro Hoki FIH dengan cemerlang, selepas mencatat kemenangan 5-3 ke atas pasukan No. 1 dunia, Belanda.

Red Lions menamatkan saingan di kedudukan kelima mengatasi Jerman, sementara Belanda melengkapkan aksi mereka musim ini di tempat kedua dan Australia muncul selaku juara.

Ketua jurulatih Speedy Tigers itu turut memuji penjaga gol, Muhamad Zaimi Mat Deris yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam perlawanan ketiga dan yang terakhir menentang Belgium.

“Dalam dua perlawanan pertama saya memberi peluang kepada kedua-dua penjaga gol, (Zaimi dan Che Shahrul Azmi) peluang sama rata dalam keempat-empat suku permainan, tetapi, semalam (Jumaat) saya mengekalkan Zaimi sepanjang perlawanan. Dia bermain baik.

“Belgium memiliki peluang menerusi 10 pukulan sudut penalti dan meledakkan satu gol. Kami pula berjaya memperoleh satu jaringan,” ujar Sarjit.

Skuad negara kini menuju ke Mochenglabach untuk jelajah Jerman dan menjangkakan bakal mengharungi dua perlawanan sukar.

Barisan pemain Malaysia dijadual menentang skuad No. 5 dunia, Jerman dalam perlawanan ujian, esok (7 Julai) di Kelab Hoki dan Tenis Glabach (pukul 9 malam waktu Malaysia).

Untuk aksi persahabatan kedua pula, skuad kebangsaan akan berdepan Kelab Hoki Mochenglabach pada 9 Julai (pukul 1.30 pagi waktu Malaysia – 10 Julai).

“Dalam semua perlawanan sepanjang jelajah Eropah, kami beraksi menentang para pemain yang tampil dalam Liga Pro FIH.

“Perlawanan-perlawanan sukar ini diyakini dapat membantu barisan pemain kita menimba pengalaman. Mereka (pemain) sedar pertarungan yang diharungi ini amat penting untuk persiapan pasukan menjelang Sukan Asia 2026,” jelas Sarjit.

Tags: