Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan tampil dengan nafas baru menjelang Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025 apabila dua pemain dari Melaka, Nur Asyraf Ishak dan Zufar Saiful Marsita, bakal melakukan penampilan sulung di kejohanan berprestij itu, sekali gus menambah dimensi baru dalam percaturan pasukan.
Kedua-dua mereka terpilih selepas berjaya menyerlah pada saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 sekali gus menarik perhatian barisan kejurulatihan kebangsaan untuk diserapkan ke dalam pasukan yang akan beraksi di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh Perak pada 23 hingga 30 November ini.
Pengurus Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, berkata, ini merupakan peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan oleh kedua-dua pemain tersebut bagi menyerlahkan diri mereka di pentas antarabangsa.
Edisi kali ini juga dianggap antara yang berprestij apabila dua gergasi dunia iaitu Belgium yang menduduki ranking ketiga dunia dan India (ke-7 dunia) turut hadir ke Ipoh.
Tambahnya lagi, persaingan bakal menjadi jauh lebih sengit memandangkan semua pasukan hadir dengan agenda besar masing-masing.
“Belgium dan India dalam fasa persiapan ke FIH Pro League yang bermula Disember ini, manakala pasukan seperti Malaysia (ranking 13 dunia), Korea (15) dan Kanada (20) sedang memperkemas taktikal menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Pasukan-pasukan ini berada dalam kelas tersendiri dan kehadiran mereka semestinya memberi nilai tambah kepada kelainan serta prestij edisi 2025,” kata Dato’ Najmi Razak.
Malaysia yang hadir dengan barisan terbaiknya menetapkan sasaran realistik untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, selepas mengambil kira kekuatan lawan yang bakal ditemui termasuk New Zealand yang berada di ranking ke-11 dunia.
Edisi ke-31 Piala Sultan Azlan Shah juga akan memperlihatkan kembalinya Faizal Saari dalam senarai utama bagi memperkukuh jentera serangan Speedy Tigers selain kehadiran dua pemain yang akan meraih caps pertama mereka, Muhammad Nur Asyraf Ishak (pertahanan) dan Zufar Saiful Marsita (penyerang).
Malaysia akan membuka tirai kempen Piala Sultan Azlan Shah 2025 pada 23 November ini menentang New Zealand pada pukul 6.00 petang, sebelum berdepan Kanada sehari kemudian pada 24 November, jam 8.00 malam.
Seterusnya, skuad negara akan bertemu India pada 26 November dan Belgium pada 27 November, kedua-duanya bermula jam 8.00 malam.
Perlawanan terakhir peringkat round robin menyaksikan Malaysia menentang Korea pada 29 November, juga pada pukul 8.00 malam.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh, yang mengesahkan perkembangan tersebut berharap kedua-dua wajah baru itu mampu memberi impak kepada pasukan kebangsaan.
“Kita ada dua muka baru untuk edisi tahun ini, kedua-duanya dari Melaka yang bermain baik dalam TNB Piala Tun Abdul Razak 2025. Ini adalah kejohanan pertama mereka, dan Zufar yang baru berusia 20 tahun, berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan.
“Sebagai persiapan, kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang Korea, India dan Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan bagi menguji kombinasi serta menilai tahap kesiapsiagaan pemain,” kata Sarjit.
Sarjit turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada tonggak utama mengalami kecederaan, menjadikan skuad lengkap sepenuhnya akan diturunkan pada kejohanan kali ini.
Dengan kehadiran nafas muda, kembalinya Faizal Saari, kesediaan penuh pasukan serta cabaran daripada pasukan elit dunia, Piala Sultan Azlan Shah 2025 dijangka menjadi pentas yang akan menguji adrenalin pemain serta akan menyuntik keterujaan buat peminat untuk menyaksikannya.
Malah, ia juga merupakan peluang terbaik buat Speedy Tigers membuktikan kemampuan sebenar mereka di hadapan penyokong sendiri.










