Speedy Tigers Sasar Ke Final, Empat Terbaik Buat Malaysian Tigresses Di Sukan Asia

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyasarkan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan mara ke final dan sasaran separuh akhir buat Skuad Senior Wanita Kebangsaan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 18 September hingga 4 Oktober ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak percaya ia mampu dicapai berdasarkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.

 

Sehubungan itu, beliau mengharapkan sokongan padu daripada semua penyokong dalam usaha Speedy Tigers dan Malaysian Tigress merealisasikan dua sasaran berkenaan.

 

“Sudah tentu mana-mana pasukan mahu pergi ke final, selepas ke final, apa saja boleh berlaku. Pemain juga menunjukkan sikap-sikap yang lebih positif, semangat juang tinggi dengan strategi baharu daripada Brendon Carolan.

 

“Tak kisah di mana ranking kita sekarang, kita kena memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan dahulu dan kemudian barulah kita cuba sasarkan pingat emas.

 

“Untuk pasukan wanita, jelas kita nak pecahkan tempat kelima dan kali ini sasaran kita nak masuk kelompok empat terbaik iaitu mara ke separuh akhir.

 

“Saya harap penyokong dapat berikan kata-kata semangat kepada pemain kerana ia akan meningkatkan motivasi mereka untuk membawa kejayaan buat Malaysia,” katanya.

 

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan menyahut cabaran itu dengan menyasarkan kedudukan teratas Kumpulan B yang turut dihuni Pakistan, China, Oman, Uzbekistan dan Thailand.

 

Beliau berkeyakinan tinggi Speedy Tigers mampu mencapainya berdasarkan progres yang cukup positif ditunjukkan sepanjang kempen Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium baru-baru ini.

 

“Pemain telah banyak berkorban dan mereka tak sabar untuk berikan aksi terbaik buat Malaysia. Saya harap kita dapat terus berikan kata-kata positif dan menyokong perjuangan mereka,” jelasnya.

 

Nada sama turut disuarakan Ketua Jurulatih Skuad Senior Wanita Kebangsaan, C.R. Kumar dalam misi mencipta kejutan di Kumpulan A yang turut dibarisi naib juara Sukan Olimpik Paris 2024, China dan Korea Selatan selain Kazakhstan, Taiwan serta Bangladesh.

 

“Empat terbaik sentiasa milik China, Korea Selatan, Jepun dan India, tetapi pemain-pemain telah bekerja keras dan mereka memahami tuntutan ini. Saya percaya kami mampu bersaing untuk cuba mara ke separuh akhir,” kata Kumar.