Speedy Tigers Terap Mentaliti Kemenangan Lawan Scotland

Bahang saingan Piala Negara-Negara 2025-26 semakin dirasai, hanya sehari sebelum skuad hoki lelaki negara membuka kempen Kumpulan A menentang Scotland di Stadium Hartleyvale, Cape Town esok pada jam 6.15 petang (waktu Malaysia).

 

Aksi pertama di bumi Afrika Selatan itu amat penting kerana kemenangan pastinya bakal melonjakkan semangat dan keyakinan para pemain Speedy Tigers untuk memburu slot ke pentas final kejohanan tersebut.

 

Kapten Malaysia, Muhammad Marhan Mohd Jalil mendedahkan, dia dan rakan-rakan sudah menerapkan ‘mentaliti kemenangan’ dalam diri mereka untuk menewaskan lawan dari Eropah di ranking ke-17 dunia itu.

 

“Perlawanan pertama sentiasa penting untuk mengutip tiga mata dan dalam masa sama menambah keyakinan pasukan. Saya harap pemain semua terapkan ‘winning mentality’ dan bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

 

Aksi itu bakal menjadi pertemuan keempat Malaysia menentang Scotland dengan tiga perlawanan sebelum ini berakhir dengan kemenangan buat skuad negara yang kini berada di ranking ke-14 dunia.

 

Kali terakhir bertemu menyaksikan Speedy Tigers menang 2-1 hasil jaringan Shahril Saabah dan Amirol Aideed Arshad dalam penentuan tempat kelima dan keenam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

 

Kemenangan pastinya akan membakar lagi motivasi dan Speedy Tigers untuk mengharungi baki tiga lagi aksi dalam Kumpulan A menentang Jepun (12 Jun), New Zealand (16 Jun) dan Korea Selatan pada 17 Jun nanti.

 

Bagi pemain tengah berpengalaman skuad negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, keyakinan mereka berada pada tahap tinggi untuk menterjemahkan hasil latihan di bawah Brendon Carolan menentang Scotland nanti.

 

“Pasukan kami ada harmoni yang baik untuk laksanakan sesuatu apabila di atas padang nanti. Kami semakin bersemangat untuk memulakan saingan Piala Negara-Negara kali ini,” jelasnya.

 

Keputusan positif di Piala Negara-Negara ini amat penting bukan saja untuk memperbaiki ranking dunia Speedy Tigers tetapi ia turut menawarkan slot ke Liga Pro FIH 2026-27.