Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan mendapat sentuhan kepakaran daripada legenda Pakistan, Sohail Abbas yang cukup terkenal dengan kehebatannya mengendalikan pukulan sudut penalti (pc) ketika era kegemilangannya selaku pemain.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal berkata, pihaknya telah memutuskan untuk melantik pemegang rekod dunia penjaring terbanyak itu sebagai penolong jurulatih Speedy Tigers.

“Buat masa ini kita menawarkan kontrak selama setahun kepada Sohail bagi membantu Ketua Jurulatih, Sarjit Singh membuat persiapan menjelang kelayakan Piala Dunia, Sukan Olimpik dan juga Piala Remaja Asia, tahun depan,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, Sohail, 49, merupakan bekas kapten Pasukan Pakistan dan bintang hoki tersohor dunia yang memiliki kepakaran dalam pukulan sudut penalti.

Jelasnya, bekas pemain yang mempunyai 311 cap bersama pasukan Pakistan itu pernah bermain sebanyak tiga kali pada Sukan Olimpik dan kehadiran beliau bagi membantu barisan kejurulatihan diharap dapat mengubah landskap hoki kebangsaan di peringkat senior dan remaja.

“Kita sememangnya amat memerlukan jurulatih yang bersedia berkhidmat secara sepenuh masa dan Sohail mampu berbuat demikian untuk KHM.

“Untuk permulaan beliau akan bertolak ke Johor, esok pagi, mengiringi Sarjit untuk memantau Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak yang akan bermula, esok.

“Sebaik pulang nanti, skuad kebangsaan akan kembali berlatih bermula 17 Oktober ini dan Sohail akan memulakan tugasnya bagi memberi tunjuk ajar dan pengalaman yang dimilikinya bersama para pemain,” ujarnya.

Subahan memberitahu, khidmat Sohail bukan sahaja membabitkan Speedy Tigers, tetapi, beliau akan turut berkongsi kepakaran dan pengalamannya bersama pasukan remaja serta wanita.

Tambahnya, Sohail tidak sekadar berkongsi kepakarannya mengendalikan pukulan sudut penalti, tetapi juga keseluruhan permainan baik dari segi serangan dan juga bertahan.

“Kalau kita melihat kepada prestasi skuad kebangsaan terutama pada Sukan Asia yang lalu, Speedy Tigers memperoleh pukulan sudut penalti terbanyak tetapi tindakan penyudah kita hanya sekitar 18 hingga 22 peratus.

“Selepas ini kita mensasarkan sekurang-kurangnya tindakan penyudah Speedy Tigers dapat melepasi 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Beliau juga mahu skuad bimbingan Sarjit itu memperbaiki prestasi penjaga gol terutamanya ketika penjaga gol utama ditimpa kecederaan.

Tags: