Speedy Tigers Terus Mengaum, 100% Kemenangan Ke Separuh Akhir

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan kini hanya selangkah lagi untuk beraksi di pentas final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

 

Lebih manis, Speedy Tigers mara ke penentuan empat terbaik itu dengan rekod kemenangan 100 peratus daripada lima perlawanan Kumpulan B termasuk menewaskan China 5-0 hari ini.

 

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan menghamburkan pujian tinggi kepada anak-anak buahnya yang sebelum ini dikritik hebat selepas tamat kempen Piala Dunia 2026 di Belgium bulan lalu.

 

Ternyata, persembahan dipamerkan di bumi Jepun kali ini membuktikan kualiti sebenar Speedy Tigers yang merekodkan 34 gol dan cuma bolos empat kali sepanjang lima perlawanan Kumpulan B.

 

“Saya gembira untuk para pemain dan saya fikir ada beberapa perlawanan penting dalam tempoh lima atau enam tahun kebelakangan ini yang telah mengecewakan mereka.

 

“Kami cuba untuk bangkit selepas menerima beberapa keputusan besar yang memihak kepada pihak lawan. Bagus dari segi mental apabila kami dapat turun beraksi, menghasilkan persembahan yang baik dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

 

“Fokus kami sekarang adalah memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik untuk separuh akhir. Selepas itu, kami hanya perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku nanti,” jelas Carolan.

 

Lima gol Speedy Tigers hari ini dijaringkan oleh Fitri Saari pada minit ke-13, Akhimullah Anuar Esook (m-22), Ashran Hamsani (m-24), Faizal Saari (m-40) dan Azrai Aizad Abu Kamal (m-59).

 

Di separuh akhir pada 1 Oktober ini, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan bertemu naib juara Kumpulan A sama ada Jepun atau Korea Selatan.

 

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Speedy Tigers di pentas Sukan Asia adalah meraih pingat perak pada edisi 2010 dan 2018.