Speedy Tigers Terus Mengganas, Ledak 24 gol Dalam 3 Aksi

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan terus menunjukkan prestasi berkualiti apabila merakam kemenangan ketiga di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Thailand 10-0 hari ini.

 

Kemenangan besar di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara itu amat penting buat Speedy Tigers yang kini sudah menduduki tangga pertama Kumpulan A dengan 24 gol tanpa bolos selepas tiga perlawanan.

 

Ketua Jurulatih Skuad Senior Kebangsaan, Brendon Carolan mengakui anak-anak buahnya menunjukkan peningkatan ketara selepas bermula perlahan di suku pertama.

 

“Kami bermain lebih baik selepas suku pertama. Walaupun mereka (Thailand) cuba memberi sedikit tentangan, tetapi saya fikir tiga suku berikutnya adalah sangat baik.

 

“Setiap perlawanan adalah penting kerana jumlah perbezaan gol boleh menentukan kedudukan kami dalam peringkat kumpulan. Saya harap para pemain dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik sebelum bertemu Pakistan nanti,” katanya.

 

Dua penggempur Speedy Tigers, Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing meledak dua gol dalam perlawanan itu.

 

Baki enam lagi dijaringkan oleh Muhajir Abdu Rauf, Aminuddin Zain, Ashran Hamsani, Shello Silverius, Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook.

 

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan meneruskan aksi keempat menentang Pakistan pada 26 September ini yang mana ia bakal menjadi penentu kepada peluang ke separuh akhir nanti.

 

“Kami tahu kami perlu menang untuk meletakkan tekanan kepada mereka. Fokus kami dalam tiga perlawanan awal ini sebagai persediaan untuk baki dua aksi terakhir nanti.

 

“Selepas ini pemain tidak boleh lagi menunjukkan prestasi longgar seperti suku pertama hari ini. Kami perlu berada di tahap terbaik sebaik mula aksi menentang Pakistan,” jelas Carolan.