Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan mengorak langkah kiri, hari ini, apabila tewas di tangan tuan rumah, China, 2-4 dalam perlawanan kedua pusingan round robin, Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia, Moqi 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China.
Gawang Speedy Tigers dibolosi pada minit kesembilan hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Gao Jiesheng. Anak-anak buah Sarjit Singh yang tersentak dengan jaringan tersebut bangkit menyamakan kedudukan selang lima minit selepas itu menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Bagaimanapun, pada minit ke-32, Jiesheng menjadi duri dalam daging buat Speedy Tigers apabila menjaringkan gol pendahuluan untuk China dihadapan 2-1 menerusi pukulan sudut penalti.
Pada ketika pasukan negara menggandakan usaha bagi mencari gol penyamaan, gawang Malaysia sekali lagi ditembusi hasil jaringan padang Lin Changliang pada minit ke-40.
Semangat juang Speedy Tigers tidak luntur walaupun ketinggalan 3-1 apabila menerusi kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki, Faizal Saari berjaya merapatkan jurang gol kepada 2-3 pada minit ke-50 hasil flik terus yang dilakukannya berjaya menewaskan penjaga gol lawan.
Namun begitu, harapan Speedy Tigers untuk memburu gol penyamaan tidak kesampaian apabila berselang enam minit kemudian, tuan rumah dihadiahkan penalti stroke dan Chao Jieming menyempurnakannya sekali gus, menutup aksi dengan Malaysia tewas 2-4.
Ketua Jurulatih Pasukan Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh berkata, beberapa kesilapan yang dilakukan pemainnya telah menghukum Speedy Tigers.
“Ini bukan keputusan yang diinginkan. Ada beberapa kesilapan dilakukan pemain sehingga membenarkan pemain lawan menjaringkan gol padang dan pukulan sudut penalti.
“Kami juga gagal memanfaatkan beberapa peluang yang ada untuk menjaringkan gol serta tidak klinikal dalam kawasan ‘D’,” katanya.
Beliau memberitahu, pasukan perlu mengambil tanggungjawab dengan kekalahan yang menimpa mereka kerana gagal memanfaatkan peluang yang terbuka.
Jelasnya, dari segi penguasaan bola, anak-anak buahnya bermain lebih baik, tetapi, dalam sesebuah perlawanan jumlah jaringan menjadi penentu kepada kemenangan atau kekalahan kedua-dua pasukan.
“Esok hari rehat, barisan kejurulatihan akan memastikan pemain mendapat rehat yang cukup menjelang pertemuan dengan India dan kami akan membuat asalisis berkaitan pasukan itu serta membaiki kelemahan yang berlaku pada hari ini,” ujarnya.
Sarjit juga yakin persaingan masih lagi terbuka dan Speedy Tigers perlu berusaha keras untuk berada dalam kelompok empat terbaik.
Hasil daripada dua perlawanan, Malaysia kini mengumpul satu mata daripada aksi pertama selepas mengikat Pakistan 2-2, semalam.