SSBJ Juniors dan PPHT Thunderbolts mengesahkan tempat ke pentas final Divisyen 2 Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2026 sekaligus melayakkan diri ke Divisyen 1 musim hadapan.
Kejayaan itu hadir selepas kedua-dua pasukan berjaya memenangi aksi separuh akhir masing-masing yang mana SSBJ Juniors menang 3-2 ke atas SSN Perlis Thunderbolts sementara PPHT Thunderbolts menewaskan Anderson@RASHA 3-1.
Ketua jurulatih SSBJ Juniors, Che Mohd Nasa’i Che Ramli gembira dengan kejayaan itu dan kini menuntut anak-anak buahnya agar terus mengekalkan prestasi dalam usaha bergelar juara Divisyen 2 musim ini.
“Alhamdulillah yang pertama dah capai sasaran dan kedua, kami akan cuba untuk dapatkan gelaran juara. Kami akan gunakan sebaik mungkin rehat sehari ini bagi pastikan pemain-pemain dalam keadaan terbaik di final nanti,” katanya.
Tiga gol SSBJ dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu diperoleh menerusi dua jaringan Mirza Hilman Mohd Kamaruzaman (m-8, m-50) dan satu daripada Muhammad Hakim Suhaimi pada minit ke-18.
SSN Perlis berjaya menjaringkan dua gol lewat daripada Mohamad Fareez Abd Razak pada minit ke-53 dan 60, namun ia sudah terlewat untuk menghalang kemenangan SSBJ.

Sementara itu, pengendali PPHT, Muhammad Syukuri Mazlan menganggap persediaan awal dilakukan pasukannya adalah antara kunci utama kejayaan mereka menamatkan penantian enam tahun untuk beraksi di pentas final Divisyen 2.
“Sangat berpuas hati sebab enam tahun kami tunggu sebenarnya dan dua kali juga sebelum ini kami pernah sangkut di separuh akhir Divisyen 2. Alhamdulillah kali ini rezeki kami untuk naik ke Divisyen 1.
“Pemain-pemain nampak begitu bersemangat untuk bertemu semula SSBJ di final. Misi kami untuk balas dendam dan dapatkan juara Divisyen 2 tahun ini,” jelasnya.
PPHT Thunderbolts mara ke final Jumaat ini hasil tiga gol daripada Wan Putera Harits Irfan Abi Rifdi (m-6), Arif Ikhwan Ahmad Zahir (m-14) dan Muhammad Qasif Farhan Zamri pada minit ke-54.
Gol sagu hati Anderson dalam aksi separuh akhir itu dihasilkan oleh Muhammad Nor Aizat Haiqal Nor Azman pada minit ke-45.









