SSBJ Thunderbolts Hampiri Gelaran Divisyen 1 TNB MJHL 2026

SSBJ Thunderbolts kini di ambang bergelar juara Divisyen 1 TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2026 selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Anderson Thunderbolts hari ini.

 

Kemenangan di Stadium Hoki TNB, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) itu menyaksikan SSBJ Thunderbolts cuma perlu mengelak daripada tewas menentang PHJ/MSNJ/SMKDBL pada Jumaat ini (10 Julai).

 

Sekiranya berjaya, SSBJ Thunderbolts akan ditabalkan sebagai juara baru Divisyen 1 TNBMJHL 2026 sekaligus menamatkan penantian tiga tahun sejak kali terakhir mereka menjuarai liga pada 2022.

 

Kapten SSBJ Thunderbolts, Muhammad Rafiq Muhammad Raze berharap mereka dapat mengekalkan momentum semasa untuk menamatkan kempen liga dengan rekod bersih lapan kemenangan musim ini.

 

“Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan kerjasama yang baik daripada rakan sepasukan. Kami akan terus berusaha dan menang perlawanan seterusnya untuk kami menjadi juara liga,” katanya.

 

Rafiq antara salah seorang daripada tiga penjaring gol SSBJ hari ini selain Muhammad Danial Hakeem Abdullah dan Muhammad Irsyad Zul Aswade.

 

Dua gol Anderson pula diperoleh menerusi Muhammad Izz Irfan Azrul Ridzuan dan Ahmad Danish Noor Azmi.

 

Ketika ini, SSBJ Thunderbolts sudah mencatat tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan untuk mengutip 21 mata, 6 mata mengatasi pasukan di tempat kedua dan ketiga, SSTMI Thunderbolts serta Anderson Thunderbolts.