Penantian SSBJ Thunderbolts untuk kembali bergelar juara Divisyen 1 TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) sejak 2022 akhirnya ternoktah pada edisi kali ini.
Keputusan seri tanpa jaringan dengan PHJ/MSNJ/SMKDBL dalam aksi liga terakhir mereka di Stadium Hoki TNB sebentar tadi sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan buat SSBJ Thunderbolts.
Ketua Jurulatih SSBJ Thunderbolts, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, memberikan kredit kepada komitmen dan kesungguhan tinggi para pemain untuk bergelar juara liga musim ini walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang saingan.
“Walaupun prestasi tak begitu baik hari ini tetapi kami mahukan satu mata untuk menjadi juara. Saya sangat bersyukur dan berharap pasukan akan kekal merendah diri walaupun kami dah berjaya dapatkan kejuaraan.
“Sebenarnya tiada apa-apa kunci dan jujurnya saya tak jangka kami akan sampai ke tahap juara. Kredit kepada pemain disebabkan komitmen mereka, keinginan mahu bermain dan kefahaman yang tinggi dalam hoki,” katanya.
SSBJ Thunderbolts berjaya mengharungi semua lapan perlawanan Divisyen 1 TNB MJHL tanpa kalah dengan merekodkan tujuh kemenangan dan satu seri untuk mengutip keseluruhan 22 mata.
Ia sekali gus menutup peluang dua pencabar utama yang berada di tangga kedua dan ketiga, Anderson Thunderbolts dan SSTMI Thunderbolts untuk cuba memintas meskipun mereka masih berbaki satu perlawanan pada Ahad ini.
SSBJ Thunderbolts kini berpeluang memastikan kempen musim ini berakhir lebih sempurna jika menjuarai Piala TNB yang akan berlangsung selepas ini.
“Cabaran Piala TNB berbeza kerana ia adalah pusingan kalah mati. Kami akan kekal merendah diri, kembali berlatih seperti biasa dan membuat persiapaj rapi untuk saingan seterusnya nanti,” jelas Sukri.









