SSBJ Thunderbolts menutup kempen musim ini dengan penuh bergaya apabila muncul juara Piala TNB, Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2025 selepas menewaskan AHSSN Pahang Thunderbolts 3-0 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan kejuaraan bermakna buat pasukan muda berkenaan, malah turut menebus kekecewaan musim lalu apabila mereka tewas besar 7-0 di pentas final.
Pertarungan sengit di separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati, namun SSBJ Thunderbolts tampil lebih bertenaga selepas rehat.
Minit ke-44 menjadi detik penting buat SSBJ Thunderbolts apabila Muhamad Harith Afi Muhammad Rishamudin tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk membuka tirai jaringan.
Rentak semakin memihak kepada SSBJ Thunderbolts apabila Syed Izzul Akmal Syed Alik menambah gol kedua pada minit ke-59 menerusi penalti stroke, disusuli ledakan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien beberapa saat sebelum aksi sebenar tamat dengan gol padang.
Ketua jurulatih SSBJ Thunderbolts, Mohamad Sukri Abdul Mutalib jelas berpuas hati dengan semangat juang serta karakter ditunjukkan anak buahnya sepanjang perlawanan.
“Secara keseluruhan saya amat puas hati dengan prestasi semua pemain. Mereka benar-benar inginkan piala ini walaupun rata-rata masih muda dan boleh beraksi lagi musim hadapan. Pemain bukan sahaja ikut arahan saya, malah mereka ada kreativiti tersendiri yang saya benarkan di beberapa situasi,” katanya.
Sukri mengakui kejayaan ini cukup beremosi buat dirinya kerana musim ini adalah tahun pertamanya membimbing pasukan utama bersama penolong jurulatih, Mohamad Zulhamizan Awang Abas, selepas tiga tahun mengendalikan skuad SSBJ Junior.
“Tahun lalu, pasukan agak terumbang-ambing dan kami tewas besar di final. Jadi tahun ini, amanah yang dipikul agak berat untuk memperbaiki kelemahan serta meningkatkan mutu permainan. Alhamdulillah, dengan bantuan Nor Azlan Bakar dan jurulatih Firhan Ashari, kami berjaya tingkatkan keyakinan, emosi serta disiplin pemain,” jelasnya.
Sukri yang juga bekas pemain dan kapten hoki negara itu meletakkan harapan tinggi untuk melihat pemain-pemainnya mampu menyarung jersi pasukan kebangsaan suatu hari nanti
“Harapan saya sudah pasti mahu melihat mereka terus berkembang dan menjadi pelapis hoki negara. Bermula dengan pasukan remaja, kemudian melangkah ke skuad senior. Itu memang tugas kami di peringkat akar umbi, untuk memastikan hoki Malaysia tidak ketandusan bakat berkualiti,” tambahnya.
Sementara itu, Anderson Thunderbolts meraih kedudukan ketiga selepas menewaskan SSTMI Thunderbolts 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi masa sebenar.









