Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang menjadi pentas untuk mencungkil bakat-bakat muda kini sedang rancak berlangsung di Bumi Kenyalang, Sarawak.

Tirai temasya yang telahpun dibuka sejak 17 Ogos lalu dan akan berakhir pada Sabtu ini turut mempertandingkan hoki sebagai sukan yang menjadi rebutan pingat.

Empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Perak, juara bertahan Pahang dan Terengganu telahpun mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir yang akan berlangsung Khamis ini di Stadium Hoki Padungan, Kuching.

Pada suku akhir, Wilayah Persekutuan yang dibimbing oleh jurulatih, Eugene Lee menundukkan Johor 3-2, manakala, pencabar yang bakal mereka temui di separuh akhir iaitu Perak membelasah Sabah 5-0 , hari ini.

Dalam dua lagi suku akhir, Pahang membenam Perlis 9-1, manakala, Terengganu melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka.

Eugene berkata, perlawanan, hari ini, menentang Johor, anak-anak buahnya melakar kemenangan tipis dan dia turut memuji persembahan yang dipamerkan skuad bimbingannya itu.

“Para pemain memberikan aksi terbaik mereka sejak temasya bermula dan saya gembira kami berjaya mara ke separuh akhir,” katanya.

Eugene yang pernah membawa Wilayah Persekutuan ke pentas akhir pada Sukma 2000 di Pulau Pinang, namun, tewas 0-1 di tangan Selangor berpeluang menebus kekecewaannya itu pada temasya kali ini.

“Sewaktu saya bergelar jurulatih untuk Wilayah Persekutuan pada 2000, kami tumpas dalam perlawanan akhir.

“Menjelang separuh akhir, kami bakal berdepan ujian getir menentang Perak dan saya berharap para pemain dapat mempamerkan kualiti permainan yang mantap dan mengekalkan momentum untuk memburu slot ke final.

“Hanya satu lagi perlawanan perlu kami harungi untuk ke perlawanan akhir, kami menghormati Perak sebagai sebuah pasukan yang kuat dan sudah tentu mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada kami,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim pula berkata, Wilayah Persekutuan merupakan pasukan pilihan pada Sukma kali ini berdasarkan pencapaian mereka selaku juara Piala Razak 2023.

“Bagaimanapun, saya tetap yakin Perak mempunyai keserasian untuk memburu kemenangan ke atas Wilayah Persekutuan,” kata Mohd Nizam yang turut diperkuatkan penjaga gol skuad hoki remaja negara yang beraksi pada Piala Dunia Remaja 2023, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini.

Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad berharap, skuad bimbingannya sudah bersedia untuk turun beraksi menentang Terengganu pada separuh akhir.

“Saya gembira melihat persembahan para pemain sewaktu menentang Perlis dan berharap mereka dapat mengekalkan prestasi sama pada separuh akhir nanti.

“Saya yakin kami berada di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran yang kami menangi pada temasya lalu dan saya sentiasa ingatkan para pemain agar beri fokus kepada satu demi satu perlawanan,” jelasnya.