Ketiadaan Azimuddin Syakir Kamaruddin bersama pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di kejohanan Divisyen 1 Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) tidak merencatkan usaha pasukan itu mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu.
Kemenangan besar 7-0 ke atas SMIDIN-MSNT pada perlawanan pertama liga itu membuktikan pasukan berkenaan kekal bernafsu untuk mengekalkan kejuaraan.
Pada aksi itu, gol-gol SSTMI dijaringkan oleh Muhammad Haziq Zunnurrain Mohd Azhary (2 gol), Jebat Aiman Mohd Jefri, Mohammad Syazwan Mohd Shamsul, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (2 gol) dan Muhammad Irfan Abd Nasir.
Keputusan itu jelas memberi kegembiraan buat ketua jurulatih SSTMI, jurulatihnya, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman.
“Alhamdullilah, permulaan positif untuk kami dan saya puji para pemain yang menunjukkan semangat tinggi dalam perlawananan ini,” katanya selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Azimuddin tidak dapat bersama pasukan itu berikutan menggalas tugas bersama skuad Speedy Tigers di Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2023-2024 di Gniezno, Poland yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei hingga 9 Jun 2024.
Meskipun tanpa penyerang muda yang menjadi tonggak kepada kemenangan berganda dicipta SSTMI di MJHL edisi lalu, ia tidak terlalu membimbangkan jurulatihnya, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman.
Katanya, beliau dan barisan kejurulatihan telah merancangan strategi yang mampu dilaksanakan barisan pemain yang ada di kejohanan berkenaan.
Tambah Wan Mohd Roslan, mengakui selepas tugas Azimuddin bersama Skuad Senior Hoki Lelaki Kebangsaan berakhir, pemain muda itu akan kembali bersama pasukannya.
“Ketiadaan Azimuddin tidak terlalu memberi kesan kepada pasukan kerana ada beberapa pemain yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan dia.
“Kita tahu dia kini bersama skuad kebangsaan ke Poland, tetapi nama dia kita telah daftar dalam pasukan jadi selepas dia balik daripada sana, Azimuddin akan kembali bersama pasukan.
“Sememangnya untuk melahirkan pemain seperti Azimuddin tidak mudah tetapi ada beberapa pemain yang berpotensi berada di tahap sepertinya dan mampu menyinar,” katanya.
Edisi lalu menyaksikan SSTMI berjaya muncul Juara Divisyen 1 MJKL 2023 dan juga menjuarai Piala TNB.
Tegas Wan Mohd Roslan, tentunya pasukannya mahu terus mempertahankan kejuaraan meskipun sedar pasukan-pasukan lain turut melakukan persiapan terbaik untuk mengharungi kejohanan ini.
“Kalau boleh kami nak pertahankan kejuaraan tetapi saya sedar ia bukan perkara mudah kerana pasukan-pasukan lain turut melakukan persediaan,” jelasnya.
Keputusan hari ini :
1. Akademi Hoki MBPJ 0-4 AHP-MSP Thunderbolts
2. PHJ-MSNJ 3-0 SSTMI Juniors
3. SMIDIN-MSNT 0-7 SSTMI Thunderbolts
4. MSSPP-SHA 1-3 SSBJ Thunderbolts
5. SSBJ Juniors 0-3 Anderson Thunderbolts