Pasukan Hoki Terengganu (THT) menghampiri gelaran juara TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Premier selepas membenam Matador Hockey Club 4-0 di Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Pada perlawanan itu, THT terpaksa menunggu sehingga minit ke-19 untuk merobek gawang Matador Hockey Club menerusi gol padang dijaringkan oleh penyerang sensasi mereka, Faizal Saari.
Pintu gol Matador Hockey Club terus dibolosi oleh Skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom yang menambah dua lagi jaringan pada minit ke-32 dan m-36 menerusi gol padang disempurnakan oleh Samkelo Mvimbi serta Faizal.
Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Mohamad Akhimullah Anuar Esook tidak melepaskan peluang mencetak nama sebagai penjaring untuk menghadiahkan kemenangan ketujuh liga buat THT.
Pengurus pasukan THT, Irawan Jusoh mengakui peluang untuk THT muncul juara liga sangat cerah dengan syarat perlu menang dengan baki dua perlawanan akan datang.
Jelasnya, perlawanan malam ini, pemain-pemain telah menunjukkan disiplin yang tinggi dan mengikut segala perancangan dengan baik sekali gus kemenangan memihak kepada THT.
“Perlawanan tadi saya lihat masih ada kekurangan yang perlu kami perbaiki tapi secara keseluruhan pemain kami bermain dengan disiplin yang bagus dan mengikut apa yang kami rancang.
“Cuma kami takut perlawanan malam ini kerana lawan mempunyai kelebihan dengan pemain Pakistan jadi perancangan kami berjaya dan Alhamdullilah kemenangan berpihak kepada kami.
“Masih ada dua perlawanan lagi dan kami mahu mengekalkan kemenangan untuk THT menjuarai liga 2025. Peluang dan ruang itu ada cuma pemain-pemain perlu terus fokus, bekerja keras untuk mencapai kemenangan dalam dua perlawanan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di kedudukan kedua liga dilihat terus mengekori tapat kedudukan THT.
Beraksi untuk perlawanan ketujuh hari ini, TNB berpesta gol selepas membelasah Territory Stingers 7-0 di Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Mereka kini merekodkan enam kemenangan, satu tewas mengumpul keseluruhan 18 mata.
Kelebihan 5 gol yang dimiliki (menjaringkan 36 gol serta bolos 8) menyaksikan TNB perlu mengharapkan THT tewas pada baki dua perlawanan yang tinggal selain mereka tidak boleh tewas pada baki aksi tersebut jika mahu muncul selaku juara.
Bagi satu lagi aksi Premier yang berlangsung hari ini, TNB thunderbolts mencatatkan kemenangan 6-5 ke atas Armed Forces HT di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai.
Untuk saingan wanita pula menyaksikan Territory Stingers menang bergaya 4-1 ke atas Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN.









