Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Negara, Sarjit Singh mengakui gara-gara terlalu menghormati pasukan lawan, Speedy Tigers tewas 1-8 di tangan India dalam aksi ketiga Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China, hari ini.
Kekalahan itu juga merupakan kekalahan kedua Malaysia selepas tewas 2-4 kepada tuan rumah, China 2-4, kelmarin, yang sekaligus menyaksikan skuad bimbingan Sarjit hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.
Ketika ditemubual selepas permainan berakhir, Sarjit berkata, para pemainnya tidak bermula dengan dengan baik sehingga mudah melepaskan tiga gol dalam tempoh yang singkat.
“Pemain seperti terlalu menghormati lawan dan hilang keyakinan diri pada awal permainan.
“Apabila kami ketinggalan 0-3, moral pemain juga jatuh. Sturktur pertahanan, hari ini, juga tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Menurut Sarjit, anak-anak buahnya cuba bangkit, tetapi, usaha tersebut masih tidak mencukupi.
Jelas beliau, India merupakan sebuah pasukan yang lebih baik daripada segala aspek pada hari ini dan persembahan Malaysia agak mengecewakan.
“Bukan mudah berada situasi seperti ini. Jurulatih dan pemain perlu ambik tanggungjawab bersama untuk bangkit pada perlawanan, esok.
“Kami tiada cara lain kecuali perlu menang ke atas Jepun, esok, jika mahu menghidupkan peluang layak ke separuh akhir,” ujarnya.
Sarjit menegaskan, tiada laluan mudah buat Speedy Tigers dan apa yang berlaku, hari ini, tidak boleh berulang sewaktu menentang Jepun, esok dan skuad negara membawa misi wajib wajib menang ke atas pasukan matahari terbit itu.
Lapan gol India dijaringkan Raj Kumar Pal yang mencipta hatrik (minit ke-3, ke-25, ke-33), Araijeet Singh Hundal (minit ke-6, ke-39), Jugraj Singh (minit ke-7), Harmanpreet Singh (minit ke-22) dan Uttam Singh (minit ke-40).
Jaringan saguhati yang diperoleh pasukan negara disempurnakan oleh pemain muda, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menerusi jaringan padang pada minit ke-34.
Speedy Tigers tidak boleh mengalami kekalahan dalam baki dua perlawanan jika berhajat untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada kejohanan yang menggunakan format perlawanan secara round robin itu.
Dengan hanya berbekalkan satu mata selepas mengikat Pakistan 2-2 dalam perlawanan pembukaan, skuad bimbingan Sarjit kini berdepan tugas berat untuk mencipta kebangkitan selepas tewas kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 Paris itu.