THT Terus Ungguli Carta TNB MHL 2025

Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus mengekalkan rentak kemenangan dengan membenam Pasukan Hoki Lelaki Lioning 8-3 dalam aksi Premier, TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin (20 Januari).

 

Kejayaan itu menyaksikan skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom yang diperkuatkan beberapa tonggak kebangsaan kini selesa mengungguli carta Premier, TNB MHL 2025 selepas mengumpul 18 mata daripada enam kemenangan.

 

Pasukan dari pantai timur tanah air itu masih belum tumpas sejak liga membuka tirai kejuaraan dan mereka juga menjulang Piala Sumbangsih selepas mengalahkan juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4 Januari lalu.

 

Dalam perlawanan berdepan skuad bimbingan Kim Sang Ryul itu, THT tidak menunggu lama untuk membolosi pintu gol pasukan pelawat menerusi Andaywalfian Jeffrynus pada minit ke-11 hasil gol padang.

 

Selang empat minit selepas itu, giliran pemain kebangsaan, Mohd Fitri Saari pula menyumbat gol kedua THT.

 

Mendahului selesa 2-0, amukan THT tidak terhenti setakat itu apabila mereka melebarkan kedudukan menjadi 3-0 hasil jaringan padang yang disempurnakan pemain import dari Korea Selatan, Lee Nam Yong pada minit ke-30.

 

Gol keempat THT diperoleh melalui seorang lagi pemain import, Samkelo Mvimbi dari Afrika Selatan pada minit ke-31 yang disempurnakan melalui pukulan sudut penalti.

 

Faizal Saari memastikan THT menjarakkan kedudukan menjadi 6-0 apabila dia mudah meledakkan dua gol pada minit ke-41 dan ke-42.

 

Lioning yang seperti terpukau dengan deretan gol membocori gawang mereka berusaha bangkit dan berjaya merapatkan jurang hasil kerja keras Yang Peng pada minit ke-42 dan ke-47.

 

Kelab dari China tersebut sekali lagi berjaya menambah jaringan apabila Zhang Zhongqiang menyempurnakan dengan baik pukulan sudut penalti pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 6-3.

 

Namun, THT tidak membiarkan Lioning terus bangkit apabila Fitri menjaringkan gol ketujuh pasukannya pada minit ke-53 dan Faizal yang melakar hatrik pada minit ke-54, melengkapkan aksi dengan kemenangan 8-3.