Pemain hoki remaja negara yang beraksi bersama pasukan senior perlu bekerja keras bagi mendapatkan tempat ke dalam skuad remaja dan tiada laluan mudah buat mereka.

Penolong Jurulatih Skuad Hoki Remaja Negara, I. Vikneswaran berkata, proses pemilihan akan dilaksanakan secara adil tanpa sebarang pilih kasih ataupun laluan automatik buat pemain muda yang berada di dalam skuad senior.

Beliau menegaskan, ini bermakna pemain seperti Azimuddin Syakir Kamaruddin, 19, yang kini menyertai skuad bimbingan Sarjit Singh dalam jelajah Eropah dan pemain Thunderbolts Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Naaveennash Panicker yang digugurkan daripada pasukan senior, baru-baru ini perlu bekerja keras.

“Azimuddin merupakan pemain pasukan senior dan sudah tentu mampu menambah baik pasukan. Tetapi anda tidak boleh semudah itu menyertai skuad remaja kebangsaan dan berkata, ‘saya pemain pasukan senior’.

“Naaveennash pula pernah menyertai latihan bersama pasukan senior, tetapi, Sarjit telah gugurkan dia. Tetapi, ini juga tidak bermakna dia boleh semudah itu masuk ke dalam skuad remaja. Anda perlu bersaing untuk mendapatkan tempat,” kata Vikneswaran.

Tambahnya, pemain-pemain berkenaan perlu menyesuaikan diri mereka dan mempunyai pemahaman yang baik dengan corak permainan pasukan remaja.

“Kita kalau boleh tidak mahu keserasian pemain terganggu. Ini sukan. Satu hari anda mungkin mempamerkan prestasi terbaik dan pada hari berikutnya anda terpaksa bersaing sebagai seorang atlet dan membuktikan bakat anda.

“Inilah cara kita memastikan para pemain sentiasa berpijak di bumi yang nyata,” ujar Vikneswaran.

Mengulas pula mengenai pemilihan pemain untuk skuad remaja, beliau memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti 19 pemain untuk menyertai latihan pusat selepas berakhir Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL).

“Mereka akan menyertai 22 lagi pemain yang telahpun berada dalam kem latihan sejak 28 Mei lalu. Para pemain yang terpilih terdiri dalam kalangan pemain berusia 20 dan 21 tahun yang tidak lagi layak bermain dalam MJHL, tetapi, masih boleh beraksi pada Piala Remaja Asia (JAC).

“Proses pemilihan akan dilaksanakan dalam tempoh singkat, mungkin minggu depan sebelum kami menyenarai pendekkan pasukan dan pada ketika ini seramai 41 pemain menyertai kem latihan.

“Bagaimanapun, ada pemain yang masih belum menyertai kem latihan kerana tidak sihat dan ada juga yang menyertai jelajah. Pemain Pahang kini berada di Australia mengadakan perlawanan persahabatan untuk persediaan Sukan Malaysia (Sukma). Kami akan menunggu mereka pulang,” kata Vikneswaran yang juga merupakan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur.

Menurutnya, seramai 20-25 pemain akan terpilih bagi menyertai jelajah di Australia bermula 21 Julai hingga 8 Ogos ini yang menjadi persiapan terbaik pasukan negara menjelang JAC 2024 di Bangladesh pada Disember.

JAC juga akan membuka peluang kepada pasukan memburu slot kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2025 di India dan jelajah Australia bakal memberi ruang kepada Young Tigers melakukan persiapan terbaik dengan mengadakan lima perlawanan persahabatan menentang pasukan Australia Bawah-21 Tahun dan dua kelab negeri di Queensland.

Tags: