TNB enggan ulangi kesilapan

Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mahu mengulangi kesilapan lagi apabila bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada perlawanan Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia esok dalam usaha mereka untuk terus meraih tiga mata penuh. Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu tewas 2-3 pada perlawanan pertama kalah mati bagi merebut Piala Tan Sri P. Alagendra kepada KLHC meskipun pada satu ketika mendahului 2-0. Justeru itu, pemain pertahanan Faiz Helmi Jali amat berharap dia serta rakan sepasukannya tidak lagi mengulangi kesilapan sama esok. "Kami tidak mahu melakukan kesilapan lagi seperti di saingan Piala Tan Sri P. Alagendra apabila lawan bangkit dengan menjaringkan tiga gol di lewat permainan untuk menewaskan kami. "Mungkin ketika itu kami mengambil mudah apabila sudah mendahului 2-0. "Sebab itu juga jurulatih banyak melakukan analisis dan melihat kembali ulang tayang video untuk persiapan perlawanan esok agar kami tidak berdepan kekecewaan lagi," katanya. Jelas Faiz lagi, meskipun bakal berdepan lawan yang cukup sukar berbanding perlawanan liga sebelum ini, dia serta rakan sepasukan tetap berhasrat untuk cuba meraih tiga mata penuh. "Jurulatih meminta kami memberikan aksi sebaik yang mungkin. Harap sekurang-kurangnya kami dapat meraih satu mata. "Jika dapat meraih tiga mata penuh sudah pasti ia satu bonus untuk kami," katanya. Sementara itu satu lagi perlawanan tumpuan membabitkan pendahulu liga, Terengganu Hockey Team (THT) bertemu UniKL di Stadium Hoki Batu Buruk. "Sudah pasti ia satu tugas yang cukup sukar bertemu THT di tempat lawan. Jadi adalah lebih baik untuk kami bersikap realistik. "Lawan mempunyai barisan pemain yang seimbang di setiap posisi. Kami akan berikan yang terbaik," jelas ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.    Liga Premier Esok (25 Januari 2017)   THT lwn UniKL, 5 petang (Stadium Hoki Batu Buruk)  TNB Thunderbolts lwn Maybank, 5 petang (Stadium SSTMI)  SSTMI lwn UiTM-KPT, 7 petang (Stadium SSTMI)  TNB lwn KLHC, 6 petang (Stadium Hoki Pantai)