Juara musim lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka selepas menundukkan Kelab Hoki Matador 6-1 pada perlawanan Premier TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Ahad (19 Januari).
TNB yang berada di bawah teraju jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin membuka jaringan seawal minit ke-5 hasil gol padang yang disempurnakan pemain kebangsaan, Shello Selverius.
Selepas mendahului 1-0, TNB hanya berjaya melebarkan kedudukan kepada 2-0 sewaktu suku kedua permainan melalui jaringan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-20.
Selang seminit selepas itu, TNB semakin selesa di depan apabila bintang import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun meledakkan gol ketiga.
Tiga lagi gol TNB dijaringkan oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (minit ke-40), Jong Hyun (minit ke-59) dan Mohammad Haris Iskandar Osman (minit ke-60).
Sementara gol tunggal Matador disempurnakan oleh G. Eswaran pada minit ke-41 hasil jaringan padang.
Kemenangan itu meletakkan TNB di tangga ketiga dalam carta liga setelah mengumpul sembilan mata daripada tiga kemenangan.
Dalam pada itu, TNB Thunderbolts turut mencatat kemenangan besar 5-2 ke atas Nurinsafi Sporting di Stadium Hoki Nasional 1, Bukit Jalil.
Lima gol TNB Thunderbolts dijaringkan oleh Ammar Qusyairi Abd Halim (minit ke-27), Shafy Shahymm Huzzeini Shahrul Azran Huzzeini (minit ke-29), Disairul Fazrien Muhammad Nazrien (minit ke-29), Azimuddin Syakir Kamaruddin (minit ke-39) dan Shafiq Ammar Fahmi Suzaini (minit ke-52).
Nurinsafi pula memperoleh dua gol yang disumbangkan oleh Tengku Adam Khaeryl Tengku Norkamarulhaizan (minit ke-33) dan Prikshit Panchal (minit ke-50).
Kejayaan yang diukir skuad bimbingan M. Kaliswaran itu menyaksikan TNB Thunderbolts kini menghuni tempat kelima selepas mengumpul enam mata daripada dua kemenangan.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2 berkesudahan UiTM HA-KPT menewaskan Angkatan Tentera HT 5-2.
Tonggak UiTM HA-KPT, Perabu Tangaraja beraksi cemerlang selepas meledakkan empat gol pada minit ke-7, ke-19, ke-29 dan ke-41, manakala, Muhammad Rashid Baharom menyumbang satu lagi gol pada minit ke-35.
Dua gol Angkatan Tentera pula disempurnakan oleh Sufian Marsom (minit ke-3) dan Mohammad Noor Firdaus Rosdi (minit ke-27).
Kemenangan tersebut menyaksikan UiTM HA-KPT berkongsi enam mata dengan TNB Thunderbolts, namun, skuad bimbingan Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar itu berada satu tangga lebih baik iaitu di kedudukan keempat selepas dipisahkan dengan perbezaan jaringan gol.