Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2025 mencatat rekod tertinggi penyertaan apabila sebanyak 63 pasukan bakal bersaing merebut kejuaraan dalam tiga kategori, di mana saingan liga akan bermula bermula 7 Julai hingga 23 Ogos ini.
Dengan jumlah penyertaan 63 pasukan yang bakal melibatkan 1,386 pemain keseluruhan, sebanyak 213 perlawanan bakal berlangsung sepanjang kejohanan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata penyertaan kali ini mencatat peningkatan tertinggi dan cukup memberangsangkan berbanding 49 pasukan yang mengambil bahagian pada edisi lepas.
Katanya, peningkatan jumlah pasukan menunjukkan perkara positif kepada sukan hoki negara dan ia mampu mencungkil lebih ramai pemain muda untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan kelak.
“Ya, peningkatan ini ada beberapa sebab. Pertama, saya berpandangan ini antara inisiatif pasukan daripada seluruh negeri yang mahu menunjukkan bakat, kebolehan dan bakat-bakat muda yang mereka miliki di mana ia mungkin boleh menarik perhatian jurulatih kebangsaan untuk dipanggil menyertai latihan pasukan.
“Keduanya saya melihat tahun depan (2026) merupakan Temasya SUKMA Selangor dan ini mungkin dijadikan sebagai platform terbaik pasukan-pasukan ini untuk mempersiapkan pemain-pemain dan pasukan mereka bagi mencabar tempat mewakili negeri masing-masing.
“Ia juga menunjukkan perkembangan positif dalam pogram pembangunan di negeri-negeri. Ini antara sebab yang kami lihat.
“Jumlah penyertaan meningkat daripada 49 kepada 63 pasukan dan ia bagus untuk sukan hoki kita. Sekurang-kurangnya kita dapat melihat pemain-pemain baharu beraksi di kejohanan ini,” katanya pada sidang media kejohanan itu di KHM hari ini.
Saingan Divisyen 1 bakal menampilkan 10 pasukan lelaki berentap memburu kejuaraan yang akan berlangsung di sembilan lokasi perlawanan iaitu Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu, Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, Stadium Hoki KPM, Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh Perak, Stadium Hoki Johor Taman Daya, Stadium Hoki Batu Pahat dan Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka, bermula 19 Julai ini.
Bagi saingan Divisyen 2 Lelaki dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Tengah yang akan beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan Zon Utara di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang bermula 23 Julai.
Sementara itu, kategori perempuan melibatkan persaingan 23 pasukan dan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula 7 Julai ini.