Saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 yang menutup tirai pada 11 Oktober lalu membawa berita gembira buat lapan pemain muda apabila mereka berjaya memikat perhatian Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Negara, Sarjit Singh, bagi menyertai kem latihan kebangsaan.
Enam pemain yang dipanggil berusia sekitar 20 tahun manakala dua lagi berumur 23 dan 26 tahun, akan menyertai sesi latihan kebangsaan bermula Isnin (27 Oktober) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, empat pemain berasal dari Pahang iaitu Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Airil Abdul Razak Rahman, Aiman Safwan Hisham dan Muhammad Nor Syakir Hafiz, manakala dua pemain dari Terengganu, Darwisy Hamdan dan Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin, sementara dua lagi pemain adalah Zufar Saiful Marsita dan Muhammad Nur Asyraf Ishak, daripada Melaka, diberi peluang berlatih bersama skuad kebangsaan.
Menurut Sarjit, barisan kejurulatihannya berpuas hati dengan mutu saingan TNB Piala Tun Abdul Razak kali ini yang menampilkan ramai pemain muda beraksi dengan prestasi konsisten dan berdisiplin tinggi.
Tambah Sarjit, lapan pemain yang dipilih itu menonjol dari segi kemahiran teknikal, tahap kecergasan, disiplin serta potensi jangka panjang untuk mengisi slot dalam skuad utama.
“Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan saingan kali ini kerana dapat melihat ramai pemain muda tampil dengan prestasi baik dan konsisten. Ini petanda positif bahawa lebih ramai bakat baharu bersedia bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Pemain yang dipanggil ini, mereka telah menunjukkan prestasi baik sepanjang kejohanan dan layak diberi peluang merasai suasana latihan bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Jurulatih berpengalaman itu menjelaskan, latihan pusat kali ini akan memberi fokus kepada penyesuaian pemain muda terhadap tempo latihan intensif dan sistem permainan di peringkat antarabangsa.
“Dalam latihan pusat, fokus pasukan kejurulatihan adalah untuk melihat bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan tempo latihan dan sistem permainan di peringkat antarabangsa.
“Jika mereka dapat menunjukkan kualiti dan sikap yang baik, peluang untuk disenaraikan ke Piala Sultan Azlan Shah adalah cerah,” jelas Sarjit.
Latihan pusat tersebut juga menjadi sebahagian daripada persiapan skuad hoki kebangsaan menjelang dua kejohanan utama Piala Sultan Azlan Shah yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 November ini, diikuti Sukan SEA Thailand pada 9 hingga 20 Disember depan.
|
NO |
NAMA |
NEGERI |
|
1 |
Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib |
PAHANG |
|
2 |
Aiman Safwan Hisham | |
|
3 |
Airil Abdul Razak Rahman | |
|
4 |
Muhammad Nor Syakir Hafiz | |
|
5 |
Darwisy Hamdan |
TERANGGANU |
|
6 |
Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin | |
|
7 |
Zufar Saiful Marsita |
MELAKA |
|
8 |
Muhammad Nur Asyraf Ishak |









