TNB Piala Tun Abdul Razak: Final Lelaki, Wanita Janji Aksi Menarik Untuk Peminat Hoki Negara

Melaka dan Kuala Lumpur menjanjikan aksi sengit bagi final kategori lelaki Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2023 edisi ke-61 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2 (NHS 2) esok.

Pasukan Melaka bimbingan Nor Ikhram Sulaiman tekad mengulangi pencapaian 2019 yang merupakan kali terakhir mereka muncul juara kejohanan berkenaan iaitu sewaktu menundukkan Johor 3-1.

Malah, kejayaan mengejutkan juara tiga kali berturut-turut, Perak memberi tonik terbaik untuk mereka berdepan Kuala Lumpur.

Barisan pemain muda Melaka juga kini berada dalam prestasi terbaik dan sangat ‘bernafsu’ untuk menjulang kejuaraan berkenaan.

“Pemain semua bersemangat dan Melaka sebenarnya tidak jangka (berada di final) kerana kami membawa ramai pemain muda namun kesungguhan pemain sendiri dan keinginan tinggi membawa mereka sejauh ini.

“Daripada satu perlawanan ke satu perlawanan mereka belajar memperbaiki kelemahan sendiri. Ketika perlawanan menentang Perak juga kami belajar daripada kesilapan kami dan memperbaikinya, begitu juga apabila menentang Kuala Lumpur nanti…itu saja rahsia kami.

“Pasukan ini memiliki 10 orang pemain muda di mana paling muda berusia 15 tahun dan paling tua 32 tahun. Sebenarnya pasukan ini merupakan perancangan masa depan bagi tahun 2024 hingga 2026 dan ia dibawah tanggungjawab saya,” kata ketua jurulatih Melaka Nor Ikhram.

Sementara itu, Kuala Lumpur yang kali terakhir menjulang kejuaraan ini pada 2011 mengambil pendekatan ‘rendah diri’ serta menghormati pasukan Melaka.

Ketua jurulatihnya I.Vikneswaran berkata pasukan Melaka sememangnya layak berada di pentas final namun berjanji barisan pemain-pemain Kuala Lumpur akan memberi tentangan sengit.

“Melaka bermain dengan baik dan berhak berada di final. Kami sangat menghormati mereka dan sudah tentu perlawanan esok bakal berlangsung sengit dan kami akan memberi segalanya,” ujarnya.

Tambah I.Vikneswaran, pasukan yang dibawa kali ini merupakan pasukan masa depan, selain itu dorongan pemain senior seperti Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Muhammad Aslam Mohamed Hanifiah dan Zulpidaus Mizun berjaya membawa Kuala Lumpur berada di pentas akhir.

“Pasukan ini merupakan pasukan masa depan yang dibentuk tiga hingga lima tahun tetapi saya fikir kepimpinan pasukan senior contohnya Amirul, Zulfirdaus, Aslam dan beberapa pemain lagi membawa kepada perkara positif.

“Mereka (senior) berjaya menguruskan 19 pemain baharu dan memberi motivasi yang akhirnya membawa pasukan berada di tahap ini,” katanya.

Aksi final Melaka berdepan Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2 (NHS 2) pada pukul 8.30 malam.

Dalam pada itu, bagi final wanita edisi kelapan, Selangor menjadi pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut namun Sabah yang kali pertama menjejak kaki di pentas akhir enggan pulang dengan tangan kosong.

Ketua jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar berharap anak buahnya mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi edisi 2022.

“Ini final kali keenam dan kami akan cuba mempertahankan kejuaraan, sebelum ini seperti saya pernah katakan pada awal saingang bahawa bila kami datang sebagai juara bertahan kami akan kalah pada aksi final.

“Jadi kali ini kami cuba elakkan (tewas di final) dan mepertahankan kejuaraan. Tiada tekanan untuk pemain dan saya rasa ini peluang untuk mereka.

“Kami sentiasa tekankan kepada pemain perkara paling penting adalah beri aksi terbaik dan buat penyokong seronok menyaksikan permainan kita. Dua pasukan yang beraksi di final ini sama kuat dan saya harap satu perlawanan yang menarik untuk disaksikan,” katanya.

Bagi jurulatih Sabah, Hasrul Jideh mengakui pemain-pemain telah mencipta sejarah sebaik sahaja layak ke separuh akhir dan seterusnya berada di final.

Jelasnya, pasukannya akan cuba sebaik mungkin untuk memenangi kejuaraan ini buat kali pertama dan membawa pulang piala ke Borneo.

“Kami teruja kali pertama beraksi di final. Edisi kali ini rezeki memihak kepada kami dan pemain telah mencipta sejarah layak ketika layak ke separuh akhir sudah cukup bagus.

“Apa yang kami tekanan kepada setiap pemain habiskan…dan cuba satu kali untuk pegang satu piala. Saya rasa ini kali pertama podium kami untuk negeri Sabah dan kita cuba bawa balik piala ke Borneo.

Perebutan gelaran juara kategori wanita membabitkan Selangor menentang Sabah dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2 (NHS 2) pada pukul 6 petang.