Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT) berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi TNB Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2025, Edisi Ke-4 di Dewan Sri Putra.
Pada aksi itu, kedua-dua pasukan berjaya mengimbangi kekuatan masing-masing apabila tiada gol terhasil pada suku pertama.
Bagaimanapun, bermula suku kedua, Muhammad Arif Syafie Ishak meletakkan THT didepan pada minit ke-16 menerusi pukulan sudut penalti dan Danial Asyraf Abd Ghani menggandakan kedudukan pada minit ke-22 hasil gol padang.
TNB bangkit merapatkan jurang menerusi ledakan Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman hasil gol padang pada mint ke-27 namun Syed Mohamad Syakir Syed Cholan kembali menjarakkan kedudukan (m-32).
Begitupun, TNB bangkit untuk memastikan tidak terciciran mata selepas Wan Haziq menambah dua gol lagi pada penghujung perlawanan.
Bagi pengendali TNB, Muhammad Madzli Ikmar Mohd Nor berkata, aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dan perkongsian satu mata itu disifatkan adil.
Tegasnya, semua pemain perlu segera memperbaiki kesilapan mudah yang dilakukan supaya perkara sama tidak berlaku pada perlawanan seterusnya.
“Seimbang perlawanan hari ini kerana kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menang. Pujian buat pemain kerana tidak cepat putus asa walaupun ketinggalan sebanyak tiga kali.
“Ketika kedudukan 3-1 kami sedikit berasa ‘down’ tetapi selepas melakukan sedikit perubahan taktikal, kami mula menguasai permainan dan pemain menunjukkan semangat untuk menang dan kami berjaya mencatat keputusan seri.
“Kita buat kesilapan mudah bila bertahan masa lawan THT, terutama hantaran bola panjang. Harap pemain dapat belajar dan tidak ulang kesilapan sama untuk aksi berikutnya,” kata Madzli.
Sementara, aksi kategori wanita menyaksikan BNHC KL terpaksa akur dengan kehebatan PDRM Blue Warriors apabila tewas 1-2.
Dua gol PDRM Blue Warriors disumbang oleh Fatin Shafika Mahd Sukri manakala Nurul Farawahida Marzuki menjadi penjaring buat BNHC KL.
Ketua Jurulatih BNHC KL, Mohd Badrul Hisham Osman mengakui rezeki tidak memihak kepada pasukannya walaupun anak buahnya telah memberi aksi terbaik.
Katanya, secara keseluruhan anak buahnya telah memberi segalanya dalam perlawanan itu namun ketangkasan penjaga gol berpengalaman mewakili PDRM Blue Warriors, Farah Ayuni Yahya mengecewakan jentera serangan BNHC.
“Bagi saya semua pemain telah memberi lebih 150 peratus dalam perlawanan ini namun rezeki (kemenangan) tidak memihak kepada kita. Saya gembira dengan persembahan mereka dan jika setiap peluang daripada PC (pukulan sudut penalti) dan PS (penalti stroke) dimanfaatkan dengan gol, mungkin keputusan berbeza.
“PDRM merupakan pasukan yang bagus dan dibarisi pemain-pemain berpengalaman, malah penjaga gol mereka mempamerkan aksi cemerlang yang menyukarkan jentera serangan saya membolosi gawang dikawalnya. Satu gol diperolehi pun saya sifatkan ia jaringan yang berkualiti,” kata Mohd Badrul.
Beliau juga berharap anak buahnya akan bangkit pada perlawanan seterusnya dan mahu memperbaiki pencapaian tahun lepas, dengan mensasarkan berada di pentas final.
Berikut merupakan lain-lain keputusan yang berlangsung.
LELAKI
JM Hawks 1-9 Armed Forces HT
Johor 1-2 RMR HC
DBKL HT 1-2 Malaysian University
Perlis Mighty Lions 0-7 Maybank
RMR HC 6-1 JW Hawks
WANITA
Mutiara MSSPP-PSHA-UNITEN 4-0 JM Auroras
Malaysian University 0-4 Wipers
MOHC-MHA 1-3 DBKL HT
CS Mustang HT 2-0 JM Auroras