Piala Sumbangsih yang terlepas ke tangan Terengganu Hockey Team (THT) pada musim 2025 berjaya dirampas kembali oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB Thunderstars) selepas aksi pembukaan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026, Piala Sumbangsih yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, menyaksikan TNB Thunderstars meraih kemenangan 5-4.
Hatrik pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun, dalam membantu kejayaan TNB Thunderstars hari ini, bukan hanya menghadiahkan kejuaraan pertama buat mereka, malah ia turut menyumbang tiga mata pertama bagi saingan Liga Premier hasil daripada kemenangan tersebut.
Pertemuan dua gergasi hoki Malaysia itu menyaksikan tuan rumah, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi dua gol pantas gerakan padang, yang disumbangkan oleh Faizal Saari pada minit ke-3 dan ke-4.
Memasuki suku kedua dan ketiga perlawanan, penguasaan permainan nyata didominasi oleh TNB Thunderstars yang bangkit meledak empat gol masing-masing menerusi dua gol pukulan sudut penalti Jong Hyun (m’16 dan m’44) sementara dua lagi gol padang dijaringkan oleh Adam Ashraf Johari (m’30) dan Akhimullah Anuar Esook (m’33).
Tersentak dengan gol pelawat, THT bangkit untuk mengikat kedudukan 4-4 pada suku terakhir dengan kesilapan yang menghadiahkan mereka penalti stroke, disudahkan dengan tenang oleh Samkelo Mvimbi pada minit ke-48 sebelum kapten, Mohd Fitri Saari, menyudahkan gerakan pukulan sudut penalti minit ke-52.
Seakan perlawanan dilihat mungkin berakhir dengan kedudukan seri, TNB Thunderstars bijak untuk mencari pukulan sudut penalti dan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol kemenangan hasil hatrik Jong Hyun pada minit ke-60, sekaligus menjulang TNB Thunderstars selaku Juara Piala Sumbangsih 2026.
Mengulas mengenai permulaan positif oleh anak-anak buahnya, Pengendali TNB Thunderstars, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, menyifatkan ia satu perlawanan yang cukup sengit dan menegaskan pasukan yang bijak mengambil peluang akan keluar selaku juara kerana kekuatan seimbang dimiliki oleh kedua-dua pasukan.
“Kami dibolosi dua gol awal pada saat pemain masih mencari rentak menyesuaikan keadaan dan mencari permainan mereka. Bahasa mudahnya, pemain masih belum panas.
“Namun seiring dengan perlawanan berjalan, mereka berjaya menemui permainan sebenar dan bangkit untuk mengejar kedudukan.
“TNB dan THT adalah dua pasukan yang cukup berpengalaman. Kelebihan kami hari ini, kami mencipta peluang dan menggunakannya dengan baik.
“Pujian buat bahagian pertahanan yang bermain dengan baik untuk menutup peluang dimiliki lawan bagi memastikan kami meraih tiga mata pertama,” jelasnya yang ditemui selepas tamat perlawanan.
Sementara bagi pengendali THT, Mohd Harfizi Baharom, beliau melihat kekalahan yang dialami dari sudut positif selepas skuad bimbingannya mempamerkan semangat juang dan melawan yang tinggi walaupun terpaksa menelan pahit hakikat kekalahan.
“Positifnya perlawanan hari ini, kami meletakkan pasukan kami selaku “underdog” kerana lawan kami memiliki serba serbi kelebihan dan turun dengan kekuatan penuh.
“Apa yang kami cuba lakukan adalah mengimbangi perlawanan dan pada satu ketika kami berjaya melakukannya.
“Cuma kekurangan kami yang jelas hari ini adalah kami tidak dapat bertahan sehingga minit akhir permainan dan menghadiahkan lawan dengan pukulan sudut penalti, di mana kesilapan tersebut menyaksikan kami terpaksa membayar dengan harga yang cukup mahal, terlepas untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih pada musim lepas,” ujarnya.
THT dan TNB akan meneruskan saingan liga untuk aksi kedua dengan THT akan berkunjung ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 17 April bagi pertemua dengan Maybank jam 6:00 petang, sementara TNB Thunderstars akan turun bertemu “adik” mereka, TNB Thunderbolts pada hari dan venue yang sama jam 8:00 malam.









