Perlawanan pertama TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini bagi kategori Wanita menyaksikan Malaysian University dan Qnet Phoenix terpaksa akur berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Qnet Phoenix yang dibarisi oleh enam pemain kebangsaan termasuk Kapten Wanita Kebangsaan, Juliani Mohamad Din terlebih dahulu merobek gawang Malaysian University pada minit keempat selepas kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki berjaya diterjemahkan kepada jaringan oleh Fatin Naimah Zaki.
Bagaimanapun berselang enam minit kemudian, menerusi gerakan padang, Nuramirah Shakirah Zulkifli menghadiahkan gol penyamaan buat Malaysian University di mana gol yang terhasil itu kekal sehingga tamat masa penuh perlawanan.
Pengendali Qnet Phoenix, Siti Rahmah Othman menyifatkan usaha anak-anak buahnya yang melakukan kerja rumah dan analisa video sebelum perlawanan bermula membuahkan hasil apabila mereka berjaya menidakkan peluang-peluang pukulan sudut penalti yang dimiliki lawan.
“Alhamdulillah untuk satu mata pada perlawanan pertama ini dan saya sangat-sangat memuji semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain.
“Perlawanan pertama menentang Malaysian university, kami sedar lawan kami memiliki barisan pemain yang berpengalaman dan mereka merupakan satu pasukan yang kuat serta menjadi pilihan untuk liga musim ini.
“Namun saya tekankan kepada pemain apa yang penting untuk aksi ini adalah mereka faham perancangan pasukan dan berdisiplin di atas padang selain mempunyai satu persefahaman yang baik antara mereka supaya dapat memberikan kesukaran kepada lawan untuk menjaringkan gol.
“Saya berharap pemain akan sentiasa kekal positif dalam setiap perlawanan dan tidak ambil mudah ketika turun untuk perlawanan seterusnya,” jelas beliau yang akan bertemu Kedah pada aksi kedua di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, juara bertahan, Negeri Sembilan berjaya meraih tiga mata pertama selepas menewaskan PDRM Blue Worriors, 3-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Seremban 2, Negeri Sembilan.
Aksi tersebut menyaksikan Negeri Sembilan terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-30 menerusi gol padang Zaty Alyani Muhamad Zubir sebelum minit ke-50 Anith Humairah Baharudin terus meletakkan Negeri Sembilan di hadapan.
Bagaimanapun enam minit kemudian PDRM Blue Worriors bangkit merapatkan kedudukan menerusi Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin namun Anith Humairah sekali lagi menjarakkan kedudukan buat Negeri Sembilan pada minit ke-59.
Beberapa saat sebelum aksi berakhir, PDRM Blue Worriors memanfaatkan kelebihan pukulan sudut penalti menerusi Nur Aisyah Yaacob namun jaringan tersebut tidak cukup untuk PDRM Blue Worriors menyekat Negeri Sembilan daripada membawa pulang tiga mata pertama.
Lain-lain perlawanan menyaksikan pasukan jemputan daripada China, Liaoning Women`s Hockey Team membelasah Kedah 10-0 sementara MSP-PHP-SSNP menundukkan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA 5-0 dan Kuala Lumpur City mencatat kemenangan 1-0 ke atas CS Mustang HT.
Perlawanan Kedua (Sabtu – 3 Feb 24)
KEDAH lwn QNET PHOENIX (Stdm Hoki Bertam – 5:00 petang)
MSP-PHP-SSNP lwn PDRM BLUE WORRIORS (Stdm Hoki Wisma Belia Kuantan – 5:00 petang)
NEGERI SEMBILAN lwn MUTIARA IMPIAN-MSSPP-PSHA (Stdm Hoki Seremban 2 – 5:00 petang)
KUALA LUMPUR CITY lwn MALAYSIAN UNIVERSITY (Stdm Hoki KPM – 5:00 petang)
CS MUSTANG HT lwn LIAONING WOMEN`S HOCKEY TEAM (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil – 6:00 petang)









