QNET Phoenix yang turun untuk perlawanan keempat mereka bagi saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 (Wanita) hari ini terus memastikan tiga mata dalam genggaman apabila menewaskan Kuala Lumpur City, 3-0.
QNET Phoenix yang telah menamatkan satu perlawanan lebih daripada pasukan lain, kini berada di tangga teratas liga dengan keseluruhan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri yang telah direkodkan. Sementara Liaoning Women’s Hockey Team yang telah menamatkan tiga perlawana dikedudukan kedua dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut yang dicatatkan.
Seawal minit pertama perlawanan, Siti Nur Irdina Mohd Nor meletakkan QNET Phoenix dihadapan menerusi jaringan padang yang menyaksikan kedudukan tersebut kekal hingga tamat aksi suku ketiga.
Memasuki suku keempat, QNET Phoenix meledak dua gol yang juga merupakan gol kemenangan menerusi dua gol yang disumbangkan oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar, bermula dengan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-50 dan gol padang pada minti ke-56.
Selepas menamatkan empat perlawanan, QNET Phoenix kini telah menjaringkan 17 gol sementara hanya bolos satu gol.
Pengendali QNET Phoenix, Siti Rahmah Othman, nyata lega dengan tiga mata yang berjaya dibawa pulang namun melihat masih terdapat kesilapan yang perlu diperbaiki terutamanya melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol di dalam kawasan lawan.
“Perlawanan hari ini kami memiliki lapan pukulan sudut penalti, saya berasa amat rugi apabila kami hanya menjaringkan satu sahaja daripada kelebihan tersebut. Perkara ini membimbangkan saya kerana saya tidak mahu pemain hilang fokus dan tidak konsisten dalam perlawanan.
“Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain di mana mereka tidak berputus asa dalam usaha untuk mencipta peluang menjaringkan gol.
“Kami memiliki empat hari rehat namun saya tidak memberikan cuti kepada pemain kerana kami perlu terus menjalani latihan bagi memperbaiki dan memperkemaskan perancangan permainan pasukan, termasuk mempertajamkan pukulan sudut penalti serta beberapa teknikal skill pemain.
“Walaupun kami bukan pasukan pilihan untuk liga musim ini namun kami tetap akan hadir dengan saingan yang sengit dan cuba merebut kedudukan terbaik dalam liga,” jelas beliau.
Dalam pada itu pasukan jemputan daripada China, Liaoning Women’s HT terus memburu kedudukan teratas liga apabila mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan MSP-PHP-SSNP, 7-0.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan Pahang itu, Liaoning Women’s HT menjaringkan lima gol gerakan padang dan dua gol pukulan sudut penalti.
Lima gol gerakan padang yang dihasilkan pasukan pelawat itu disumbangkan dua daripadanya menerusi Sun Yuyuan (m’4 dan m’37), sementara tiga lagi gol padang dijaringkan oleh Du Wenxuan (m’6), Liu Junjie (m’38) dan Wang Lihang (m’48).
Sementara dua lagi gol pukulan sudut penalti disumbangkan oleh Song Yang (m’12) dan Wang Lihang (m’43).
Antara perlawanan lain yang turut berlangsung hari ini menyaksikan PDRM Blue Warriors menewaskan CS Mustang HT 6-1, dan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA meraih tiga mata pertama mereka selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Kedah.
Perlawanan Keempat (Selasa – 13 Feb 24)
MUTIARA IMPIAN-MSSPP-PSHA lwn PDRM BLUE WARRIORS (Stdm Hoki Bertam – 5:00 petang)
MALAYSIAN UNIVERSITY lwn KEDAH (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (1) – 4:00 petang)
NEGERI SEMBILAN lwn MSP-PHP-SSNP (Stdm Hoki Seremban 2 – 5:00 petang)
LIAONING WOMEN`S HOCKEY TEAM lwn KUALA LUMPUR CITY (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (1) – 6:00 petang)
CS MUSTANG HT lwn QNET PHOENIX (Stdm Hoki Nasional Bukit Jalil (2) – 6:00 petang)