DARIPADA status pemain tonggak skuad Piala Dunia Remaja 2001 di Hobart sehingga menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama di Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), liku-liku perjalanan bagi K Logan Raj jelas dipenuhi pelbagai cabaran yang membuatnya matang pada hari ini.

 

Bakatnya terserlah sejak di sekolah lagi. Pada usia 15 tahun dia berjaya menunjukkan kemahiran ‘stick-work’ yang memukau dalam Kejohanan Piala Tun Razak pada 1995.

 

Pemain bertubuh kecil pada ketika itu kerap mengusik dan memperdayakan lawan lebih senior daripadanya. Ketika dikepung dia secara pantas bijak mengalih-alih posisi mencari ruang melepaskan diri.

 

Selang tiga tahun kemudian dia muncul antara nadi penting pasukan yang membuat kejutan meraih pingat perak Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

 

Pengalaman itu menyuntik semangat baru kepadanya dan Logan kemudian menyahut cabaran Piala Dunia Remaja 2001 di Hobart, Australia dan juga Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur.

 

Dia mudah bermesra dengan sesiapa saja, baik rakan sepasukan, jurulatih, pegawai MHC serta media dan juga penyokong.

 

Logan meminati seni muzik serta memiliki kelayakan akademi yang terpuji.Tidak menghairankan elemen-elemen seperti ini membantu dia muncul sebagai pemain hoki harapan skuad negara – baik remaja mahu pun senior.

 

Dia pernah dilabel ‘poster-boy’ hoki Malaysia kerana perwatakan yang mudah menarik perhatian peminat tanah air.

 

Pendedahan serta pengalaman luas miliknya mengenai adat permainan kemudian melonjakkan pemain berasal dari Melaka ini untuk menerajui MHC selaku CEO pada 2015.

 

Logan mendapat peluang ini di atas kepercayaan Presiden Datuk Seri Subahan Kamal yang menilai bakat, kemahiran serta pengetahuan mendalam miliknya itu sesuai untuk membantu menjana pentadbiran hoki negara yang sedang meniti ke era moden.

 

“Apabila mendapat tawaran saya tidak teragak-agak untuk menerimanya kerana hoki masih menebal dalam jiwa saya.

 

“Memang menarik perjalanannya. Kami menangani beberapa isu kewangan pada ketika itu. Datuk Seri Subahan yang baru dilantik sebagai presiden membuat perubahan positif – baik dalam urusan pentadbiran dan juga pengurusan skuad negara,” katanya.

 

Logan menyuarakan semua pihak terbabit bekerja penuh gigih. Ini termasuk penaja, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, media, pemain dan pegawai.

 

“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan profil sukan, mengerakkan prestasi pemain utama negara, memberi pulangan baik kepada penaja serta menyerap satu budaya bagi mencapai kemajuan di kalangan keluarga hoki di negara ini.

 

“Secara peribadi saya tidak gemar menilai prestasi diri. Saya serah kepada pihak lain untuk melakukannya,” kata Logan yang akur dia gembira dengan tugasan harian dilakukan di pejabat MHC.

 

Dia menerima jawatan CEO atas niat mahu membalas jasa kepada sukan yang membentuknya sejak usia kecil sehingga menjadi pemain senior negara.

 

“Saya tidak kesal menyumbang bakti selama dua setengah tahun untuk berkhidmat memajukan hoki yang saya anggap satu sukan yang amat bermakna. Ia beri saya peluang membina tali persahabatan yang berkekalan sehingga hari ini, baik di negara dan juga seluruh dunia” katanya.

 

Namun, selang dua tahun kemudian dia membuat keputusan tidak mahu menyambung kontrak kerana memilih Australia sebagai destinasi penyambung kerjaya korporat dan juga untuk bersama isteri dan keluarga.

 

Pemain tinggi lampai ini yang juga memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel 2006 di Melbourne tidak menyembunyikan hakikat mungkin akan kembali suatu hari nanti membantu komuniti hoki kita.

 

“Pada pertengahan 2017 saya dan isteri membuat keputusan berpindah ke Melbourne, tempat saya bekerja di sebuah industri tenaga ketika ini. Sudah tujuh tahun kami menetap di sini. Kami juga sudah dapat menyesuaikan diri menikmati kehidupan baru.

 

“Walaupun kehidupan di sini menarik dan agak kelainan sedikit. Namun rasa rindu kampung halaman masih menebal pada diri saya. Kami sekeluarga kerap pulang ke Malaysia untuk bersama ahli keluarga dan rakan yang rapat apabila ada masa terluang untuk bercuti.

 

“Ketika ini kami belum berbincang apa-apa untuk menetap terus di Australia dan hanya mengikut arus meneruskan kerjaya dan kehidupan kami. Segala perjalanan hidup di sini kami hargai sepenuhnya. Hanya masa akan menentukan segala-galanya,” kata pemain berusia 42 tahun itu.

 

Logan bersara daripada hoki pada 2007 selepas membantu skuad negara meraih pingat emas di Sukan SEA Korat, Thailand. Dia mewakili barisan negara selama 10 tahun.

 

Sebelum berundur dari MHC, dia pernah menyebut betapa berat mahu meninggalkan majikan dan juga kampung halamannya dan menambah akan terus membantu hoki negara jika diperlukan.

Logan menjadi pemain penting untuk kedua-dua pasukan remaja dan senior pada satu tempoh singkat.

Menyebut Australia – kebetulan di sini dia mula mengukir nama sebagai antara pemain ternama di Kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC) di Hobart, Tasmania pada 2001. Edisi kali ini turut membabitkan pasukan gergasi seperti Jerman, Belanda, Argentina, India, Korea Selatan, Sepanyol, New Zealand dan tuan rumah, Australia.

 

Skuad negara menyudahkan cabaran ditempat ke-12 daripada jumlah 16 pasukan. Kejohanan itu bermula pada 9 sehingga 21 Oktober di Pusat Hoki Tasmania. India muncul juara selepas menewaskan Argentina 6-1 dalam final yang menarik.

 

Antara memori masih dikenang Logan adalah dia dan rakan sepasukan berjaya mengikat pemenang pingat gangsa, Jerman dengan keputusan seri 2-2 untuk mengutip mata tunggal dalam saingan Kumpulan D selepas tewas kepada New Zealand (3-2) dan Argentina (5-0).

 

Sebenarnya, Malaysia adalah satu pasukan yang turut digeruni lawan dengan kehadiran beberapa pemain dari skuad senior yang digilap baik oleh bekas ketua jurulatih kebangsaan, Paul Lissek.

 

Selain Logan, pemain tonggak mewakili negara ialah mendiang Chua Boon Huat, Muhammad Amin Rahim (kini ketua jurulatih skuad JWC 2023), Jiwa Mohan dan adiknya Jivan.

 

Pada tahun itu, pasukan remaja negara boleh dianggap antara terkuat pernah dikumpulkan tetapi kita tidak tahu kenapa barisan berpengalamn mereka gagal mengorak langkah sekurang-kurangnya ke saingan suku akhir.

 

Logan turut menyuarakan rasa kurang puas hati dengan sumbangannya ketika beranggapan mampu melakukan sesuatu yang lebih baik. Pada tahun berkenaan pasukan mereka begitu hairah mahu melakar nama dan pulang dengan keputusan terpuji.

 

“Secara keseluruhan saya berasa kami tidak tunjuk persembahan mengikut kemampuan sebenar. Kami buat beberapa kesilapan dan ia membuka ruang kepada lawan mengaut peluang dan menghukum kami.

 

“Saya juga akur kurang menampilkan peranan saya dengan lebih bagus. Seharusnya sebagai pemimpin dalam pasukan, saya dan rakan senior lain harus mengapikan semangat rakan muda kami untuk beri fokus terbaik sepanjang kejohanan” kata Logan yang tidak menyembunyikan rasa kecewa gagal memacu skuad kendalian allahyarham Yahya Atan.

 

Pengurus pasukan ketika itu adalah Ariffin Ghani yang kini menggalas tugasan baru selaku Timbalan Pengarah (Pembangunan Sukan), Majlis Sukan Negara.

Logan (barisan belakang dari kiri) bergambar bersama rakan sepasukan dan pegawai selepas tamat JWC di Hobart pada Oktober 2001. Turut kelihat Paul Lissek dan pengurus pasukan ketika itu, Ariffin Ghani. – G (6)

Logan juga berkata, peluangnya dapat beraksi di JWC 2001 juga sebagai satu penawar duka untuk keluarga apabila abangnya, Keevan Raj sedih terlepas peluang beraksi pada edisi 1997.

 

Selain Keevan, skuad negara ketika itu turut membabitkan pemain tonggak skuad senior, S Kuhan, M Kaliswaran, penjaga gol, Nasihin Nubli Ibrahim dan juga CEO MHC, S Nishel Kumar.

 

Malaysia hanya mampu menghuni tempat kelima pada Piala Remaja Asia 1996 di Singapura. Tiga pasukan teratas – India, Pakistan dan Korea Selatan – layak ke Milton Keynes, London, tahun berikutnya.

 

Logan akur pasukan yang digilap ke Hobart boleh ditakrif cukup mantap dan hadir sebagai satu barisan yang mampu menggegar.
“Kami bukan saja rapat di gelanggang tapi sentiasa bersama-sama ketika makan dan minum selepas sesi latihan.

 

“Sifat ini merapatkan lagi perhubungan kami sebagai satu keluarga. Kami tunjuk tanggungjawab dan semangat sepasukan tinggi. Kami masih kekal sebagai rakan baik sehingga pada hari ini,” katanya.

BIO-DATA
K LOGAN RAJ
Tarikh Lahir: 10 Mac 1981
Asal: Bandar Melaka, Melaka
Mula menyertai skuad kebangsaan: 1997 (menentang New Zealand dalam 4 Siri Test di Auckland)
Pencapaian: Pingat perak dan gangsa Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998 dan Melbourne 2006; gangsa Piala Remaja Asia 2000, Piala Dunia Remaja 2001, Hobart (tempat ke-12), Sukan Olimpik 2000 di Sydney (tempat ke-11), Piala Dunia 2002 di Kuala Lumpur (tempat ke-8), Sukan Olimpik 2000 di Sydney (tempat ke-11)