Young Tigers Azam Pamer Aksi Terbaik Di Piala Dunia Remaja India

Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara, Young Tigers berazam mempamerkan persembahan terbaik di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2025 yang akan berlangsung di Tamil Nadu, India dari 28 November hingga 11 Disember ini.

 

Young Tigers ditempatkan dalam Kumpulan E bersama Belanda, England dan Austria, dengan saingan peringkat kumpulan itu akan berlangsung di Madurai, salah satu venue rasmi kejohanan selain Chennai.

 

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia menghuni tangga ke-11 dunia, manakala Belanda di kedudukan kelima, England ke-16 dan Austria ke-19.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, skuad ini mula dibentuk pada Mei sejak Nor Saiful Zaini Nasiruddin dilantik sebagai ketua jurulatih.

 

Jelasnya, sepanjang tempoh itu hingga sekarang persediaan untuk ke Piala Dunia Remaja telah bermula dan empat perlawanan persahabatan terakhir akan dijalani skuad Young Tigers sebelum bermain di aksi sebenar.

 

Sebagai persiapan akhir sebelum ke India pada 23 November ini, skuad muda negara akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan senior kebangsaan dan Korea di Ipoh dari 17 hingga 20 November, sebelum menguji kekuatan menentang Ireland dan Namibia setibanya di Madurai.

 

“Sebelum ke India, pasukan remaja kita akan ke Ipoh untuk menjalani aksi persahabatan menentang skuad senior dan Korea Selatan. Mereka akan berangkat ke India pada 23 November.

 

“Di sana akan ada dua lagi perlawanan persahabatan sebelum bermain kejohanan sebenar. Format kejohanan pula sedikit berbeza dengan ada 6 kumpulan dan enam juara kumpulan akan layak ke suku akhir manakala dua lagi pasukan berdasarkan kedudukan naib juara terbaik dikalangan enam kumpulan. Selebihnya akan bermain penentuan tempat ke-9 hingga 24,” kata Dato’ Najmi Razak pada sidang media mengumumkan barisan pemain ke Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2025 di sini, hari ini.

 

Turut hadir dalam sidang media itu, Pengurus Pasukan Remaja Kebangsaan, En. Selvendran Saravanamuthu.

 

Untuk rekod, skuad ini telah memulakan persiapan rapi seawal 14 Mei lalu dengan mengharungi pelbagai siri jelajah antarabangsa dan dua kejohanan bagi memantapkan corak permainan serta ketahanan fizikal dan mental pemain.

 

Kejohanan terakhir diharungi skuad remaja negara adalah pada Piala Sultan Johor 2025, Oktober lalu, di mana Malaysia menentang gergasi hoki remaja dunia seperti Pakistan, Australia, New Zealand, Great Britain dan India, dengan enam perlawanan dijadikan medan terakhir menilai kekuatan sebenar pasukan.

 

Nor Saiful berkata, persiapan telah dilakukan selama hampir tujuh bulan dan kini semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi cabaran di Piala Dunia Remaja.

 

Katanya, sasaran awal pasukan adalah mara ke suku akhir sebagai naib juara terbaik kerana untuk muncul juara Kumpulan E agar sukar terutama dengan adalah pasukan seperti Belanda.

 

“Stamina, mental dan fizikal semua pemain telah bersedia ke Piala Dunia dan berdepan pasukan di sana. Kita juga tiada kecederaan dan secara keseluruhan persediaan yang baik untuk ke Piala Dunia.

 

“Kita mengambil pendekatan realistik. Berdasarkan saingan peringkat kumpulan untuk menjadi juara kumpulan agar sukar untuk kita. Berdepan Belanda ia bukan perlawanan yang seimbang berdasarkan kekuatan dan keupayaan pasukan itu.

 

“England dan Austria saya lihat kita mempunyai peluang untuk menang tetapi semuanya bergantung kepada taktikal dan persembahan pemain pada perlawanan itu nanti.

 

“Realiti untuk menjadi juara kumpulan sangat sukar, naib juara boleh capai kalau menang dengan England dan Austria, dan kami berharap mampu untuk berada dalam kelompok dua pasukan naib juara terbaik dan mara ke suku akhir. Apa yang saya beritahu dekat pemain semua setiap perlawanan kena beraksi dengan terbaik dan memberikan segalanya di atas padang, lebih daripada 100 peratus,” kata Saiful.

 

Antara tonggak utama yang menjadi sandaran ialah penjaga gol Haziq Muizuddin Hairul Mizan, pertahanan kental Andywalfian Jeffrynus, serta penyerang berbisa Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar.

 

Dua pemain muda berusia 18 tahun, Iman Faris Faizo dan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien, pula dilihat sebagai bintang masa depan hoki negara.

 

Young Tigers dijadual memulakan cabaran di Piala Dunia Remaja 2025 menentang Austria pada 29 November (1.45 petang waktu Malaysia), sebelum menentang Belanda pada 30 November (6.15 petang) dan aksi terakhir kumpulan bertemu England pada 2 Disember (8.15 malam).

 

Dengan semangat kental dan persiapan rapi hampir tujuh bulan, skuad Young Tigers bertekad mengharumkan nama Malaysia di bumi India, sekali gus membuktikan generasi baharu hoki negara tidak gentar berdepan kuasa besar dunia.