Young Tigers Bangkit Bergaya Tundukkan New Zealand

Skuad hoki remaja negara, Young Tigers melunaskan misi untuk mencetak kemenangan pada saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 selepas menewaskan New Zealand 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

 

Selepas terikat 1-1 pada perlawanan kedua bertemu Australia, peningkatan terus ditunjukkan skuad muda negara dengan mengekalkan momentum positif apabila aksi ketiga hari ini, mereka berjaya menjinakkan New Zealand dengan penuh bergaya.

 

Pada aksi itu, skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampil bertenaga sejak wisel permulaan dan hanya memerlukan 16 minit untuk memecah kebuntuan menerusi gol padang Naaveennesh Panicker.

 

Pemain itu terus menjadi duri dalam daging buat New Zealand apabila menambah jaringan kedua peribadinya tiga minit kemudian bagi meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0.

 

Momentum serangan diteruskan apabila Ammar Qusyairi Abd Halim menyempurnakan peluang keemasan pada minit ke-19 untuk memastikan skuad muda negara mendahului selesa 3-0, bagi mengakhiri babak pertama.

 

New Zealand cuba bangkit pada babak kedua dengan dua jaringan hasil pukulan sudut penalti menerusi Javahn Jones (m-44) dan Rocco Ludolph (m-47), sekali gus menghidupkan semula harapan mereka.

 

Namun, kebangkitan itu segera dipadam Malaysia apabila Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi menambah gol keempat pada minit ke-57 untuk memastikan kemenangan mutlak menjadi milik Young Tigers.

 

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki remaja negara, Nor Saiful memuji aksi bertenaga anak didiknya yang menunjukkan disiplin tinggi dan ketenangan dalam mengawal perlawanan.

 

“Kita bermain baik pada suku pertama dan kedua tetapi suku ketiga kita hilang tumpuan dan suku keempat New Zealand turun dengan taktikal yang baru. Apabila mereka mendapat gol pertama dan kedua, kita lihat banyak kesilapan yang pasukan kita lakukan.

 

“Alhamdullilah kita dapat jaringkan gol keempat apabila New Zealand menggunakan ‘power play’, itu buat kita menang selesa hari ini,” katanya selepas perlawanan.

 

Esok, Malaysia akan berdepan Great Britain sebelum mengakhiri pusingan round robin menentang India pada 17 Oktober (Jumaat), di mana kedua-dua perlawanan itu penting dan wajib buat skuad remaja negara mengutip mata.

 

Menurut Nor Saiful, dua aksi terakhir ini penting untuk Malaysia mengutip mata walaupun sedar tugas itu tidak mudah berikutan berdepan pasukan Great Britain dan India.

 

Beliau bagaimanapun, akan merencanakan strategi terbaik bagi memastikan skuad bimbingannya berjaya untuk mencuri mata daripada perlawanan tersebut.

 

“Masih terlalu awal untuk memandang kedudukan podium. Hasil kemenangan ini kita ada empat mata dan miliki peluang cerah kalau kita menang perlawanan esok. Itu penting bagi melunaskan sasaran menaiki podium.

 

“Tetapi pasukan yang kita akan jumpa esok dan Jumaat ini bukan calang-calang. Great Britain dan India. Namun kita akan cuba sedaya upaya kita untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata. Kita akan lebih berhati-hati dan sudah tentu kemenangan adalah sasaran utama kita,” jelasnya.