Young Tigers Benam China 5-2

Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan kempen pada Piala Remaja Asia 2024 dengan kemenangan ke atas China 5-2 dalam saingan Kumpulan B di Al Amarat Muscat, Oman, semalam.

 

Bagaimanapun, China bermula garang apabila mengasak kubu skuad bimbingan I. Vikneswaran sejak awal permainan lagi.

 

Usaha keras pasukan yang menghuni tangga ke-48 dalam ranking hoki remaja dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) itu akhirnya membuahkan hasil apabila Wang Yubo meletakkan China di depan pada minit ke-5.

 

Young Tigers yang tersentak dengan jaringan itu berusaha bangkit dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi berjaya mengikat China 1-1 hasil gol padang pada minit ke-17.

 

Misi skuad remaja negara yang menghuni ranking ke-11 dunia itu untuk meraih kemenangan mutlak diteruskan pada suku ketiga apabila tiga gol berjaya diledakkan untuk meletakkan Malaysia mendahului selesa 4-1.

 

Tiga gol tersebut disempurnakan Muhammad Addy Jazmi Jamlus (minit ke-34), Muhammad Khairul Norizam (minit ke-43) dan Naaveennash Panicker (minit ke-44).

 

China yang belum mahu menyerah kalah berhasil merapatkan jurang gol kepada 2-4 ketika permainan berada pada suku keempat.

 

Zhang Jialiang yang melakukan gerakan solo berjaya memperdayakan penjaga gol Malaysia, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani pada minit ke-46.

 

Kedudukan itu, bagaimanapun, tidak kekal lama apabila Muhammad Danish Danial Abdul Wahab menjaringkan gol kelima Young Tigers hasil pukulan sudut penalti seminit sebelum waktu sebenar perlawanan tamat.

 

Hari ini, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Oman, manakala, Pakistan yang turut berada dalam kumpulan sama akan menentang China dalam aksi sulung mereka.