Skuad hoki remaja lelaki negara melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah tuan rumah, Oman 9-1 dalam perlawanan Kumpulan B pada Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman, semalam.
Tonggak Young Tigers, Mohammad Harris Iskandar Osman membuka jaringan buat Malaysia seawal minit pertama hasil jaringan padang.
Pintu gol Oman bocor lagi hanya berselang lima minit selepas gol pertama diledakkan dan kali ini giliran Naaveennash Panicker menyempurnakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.
Skuad bimbingan I. Vikneswaran itu terus berpesta gol apabila Mohammad Harris sekali lagi merobek gawang tuan rumah pada minit ke-11 juga melalui pukulan sudut penalti.
Malaysia yang semakin selesa mendahului 3-0, menyumbat gol keempat melalui Naaveenash yang kali ini menjaringkan gol padang pada minit ke-12.
Pemain yang menyarung jersi No. 10, Muhammad Handzalah Abdul Hadi turut tidak mahu melepaskan peluang menjadi penyumbang gol buat skuad negara pada minit ke-24 dan sekali gus meletakkan Young Tigers selesa mendahului 5-0.
Kemaraan Young Tigers tidak terhenti setakat itu apabila Mohammad Harris mencipta hatrik pada minit ke-31 untuk gol keenam Malaysia.
Tiga lagi gol skuad remaja negara disempurnakan oleh Muhammad Danish Aiman (minit ke-35), Mohammad Harris (minit ke-42) yang meledakkan gol keempat peribadinya dan kapten, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (minit ke-54).
Oman memperoleh gol sagu hati pada minit ke-39 melalui jaringan padang yang disumbangkan Ahmad Al Qasmi.
Keputusan kekal hingga tamat perlawanan dengan Malaysia membelasah Oman 9-1.
Pakistan yang membuka aksi mereka menentang China, semalam, turut meraih kemenangan besar 7-2 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.
Young Tigers kini mengumpul enam mata hasil daripada dua kemenangan mendahului Kumpulan B, manakala, Pakistan yang baharu beraksi satu perlawanan berada ditangga kedua dengan tiga mata dan Bangladesh yang mengumpul jumlah mata sama di tempat ketiga.
China dan Oman yang masih belum merekod sebarang kemenangan daripada dua perlawanan masing-masing menghuni di tempat keempat dan kelima.