Young Tigers Raih Kedudukan Tiga Terbaik Di Piala Asia B-18, Benam Bangladesh 5-2

Skuad hoki lelaki Bawah 18 (B-18) negara menamatkan kempen Piala Asia B-18 2025 dengan penuh bergaya selepas membenam Bangladesh 5-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di Pusat Latihan Hoki Nasional, Dazhou, hari ini.

 

Anak buah Mohd Sufian Mohamad, tampil bertenaga seawal wisel permulaan dan hanya memerlukan enam minit untuk membuka tirai jaringan menerusi gol padang hasil sentuhan Muhamad Hisyammudin Abdul Rani tetapi Bangladesh menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Md Mehedi.

 

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama, namun skrip berbeza ditampilkan oleh barisan muda negara sebaik memasuki babak kedua.

 

Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien meledak gol padang untuk meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-41 namun Jony Islam dari Bangladesh menyamakan kedudukan seminit kemudian.

 

Malaysia terus mengasak benteng Bangladesh, dan hasilnya skuad muda negara berjaya memperolehi tiga gol bermula dengan ledakan Rahuul pada minit ke-49, sebelum Abdul Hamzah Yahkip menambah derita lawan dengan jaringan keempat, hanya seminit berselang.

 

Pesta gol Young Tigers dilengkapkan pada minit ke-60 apabila Muhammad Saiful Syahfy Mohd Baddruddin menyumbat gol kelima untuk memastikan kemenangan bergaya 5-2, sekaligus menobatkan Malaysia sebagai pemenang tempat ketiga kejohanan.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki B-18 tahun negara, Mohd Sufian Mohamad memuji dan berbangga dengan kejayaan anak buahnya meraih kedudukan podium di kejohanan ini meskipun sasaran awal adalah mara di separuh akhir.

 

Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan para pemain sepanjang kejohanan di Dazhou dan berharap para pemain selepas ini mampu mempertingkatkan prestasi dan menyinar di peringkat lebih tinggi.

 

Mohd Sufian turut mengakui program-program pembangunan yang ada banyak membantu membentuk skuad muda dan beliau percaya ia bakal membuat masa depan hoki negara menjadi lebih baik serta bersinar.

 

“Syukur Alhamdulillah, saya sangat berbangga kerana kita berjaya meraih tempat ketiga di kejohanan Asia ini walaupun diletakkan sasaran separuh akhir tetapi saya, pengurusan dan barisan pemain mengambil cabaran ini untuk pergi jauh.

 

“Hari ini kita telah membuktikan bahawa program pembagunan hoki di Malaysia berada di landasan yang tepat. Saya harap ini dijadikan sebagai batu loncatan dan platform untuk anak-anak muda ini pergi lebih jauh pada masa akan datang.

 

“Secara keseluruhan prestasi pemain di sini amat membanggakan mereka ingin belajar dan itu yang penting, mereka tahu cara-cara menganalisis pihak lawan dan bermain serta sangat berdisiplin.

 

“Saya rasa perkara seperti ini patut diteruskan pada masa akan datang dan jika program ini diteruskan saya rasa masa depan hoki negara begitu cerah.

 

“Ini hanya satu permulaan yang cukup baik dan sangat hebat kepada masa depan hoki Malaysia. Saya harap mereka akan terus berlatih, usaha dan berjuang.

 

“Saya harap pemain-pemain ini akan menyinar di peringkat remaja mahupun senior. Mentaliti juara bermula di sini dan pada masa akan datang kita dapat meraih kemenangan,” katanya selepas perlawanan.