Skuad hoki lelaki bawah 21 tahun negara akur dengan kehebatan pasukan bawah 21 tahun Australia apabila tewas 2-4 dalam aksi pertama pada Siri Perlawanan Persahabatan di Brisbane, Australia, hari ini.

Pintu gol Young Tigers diasak tuan rumah sejak awal minit permainan lagi dan gawang pasukan negara akhirnya dibolosi hasil jaringan padang yang disempurnakan Jesse pada minit keenam.

Australia melebarkan kedudukan menjadi 2-0 apabila pemain mereka, Lucas menyumbat gol juga melalui jaringan padang pada minit ke-26.

Sewaktu permainan memasuki suku ketiga, Australia terus merobek gawang Malaysia menerusi Duncan pada minit ke-44.

Young Tigers akhirnya berpeluang untuk bangkit apabila meledakkan dua gol ketika permainan memasuki suku terakhir hasil jaringan padang Muhammad Danish Aiman Khairil Anwar (minit ke-52) dan Mohamad Nor Syakir Hafiz yang menyempurnakan pukulan sudut penalti (minit ke-56).

Namun begitu, belum sempat barisan pemain muda negara mencari jaringan penyamaan, Australia kembali menjarakkan kedudukan kepada 2-4 hasil gol padang oleh Ian pada minit ke-57.

Penolong jurulatih skuad hoki remaja negara, I. Vikneswaran berkata, secara keseluruhan para pemainnya mempamerkan persembahan yang baik kerana perlawanan tersebut merupakan aksi sulung mereka sebaik tiba di Australia.

“Untuk perlawanan pertama ini, kita berjaya bangkit pada hujung permainan, namun, pada pengakhirannya kita kalah 2-4.

“Kita tahu Australia merupakan salah sebuah pasukan terbaik di dunia dan saya berasakan para pemain bermula dengan baik memandangkan ia bukanlah satu pertemuan yang mudah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui, anak-anak buahnya itu masih perlu meningkatkan prestasi permainan mereka jika berhasrat untuk mencatat keputusan lebih baik pada jelajah Australia tersebut.

Aksi persahabatan pada jelajah Australia itu merupakan salah satu persiapan Young Tigers menjelang Piala Remaja Asia (JAC) 2024 di Bangladesh pada Disember.

Skuad muda negara itu yang akan berada di Australia sehingga 8 Ogos ini turut memburu tiket ke Piala Remaja Dunia 2025 di India yang mana JAC merupakan platform buat Young Tigers melayakkan diri pada kejohanan tersebut.

Tags: