Skuad Hoki Remaja Wanita Kebangsaan membawa semangat baru ke Santiago, Chile apabila bersiap sedia menghadapi cabaran getir Kejohanan FIH Piala Dunia Remaja Wanita (JWC) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 13 Disember ini di Stadium Hoki Nasional Claudia Schüler, Santiago Chile.
Diundi dalam Kumpulan A, Young Tigress bakal membuka kempen sulung mereka dengan pertembungan mencabar menentang Jepun pada 2 Disember, jam 2.45 pagi waktu Malaysia.
Dua hari kemudian, skuad remaja wanita negara dijadualkan bertemu tuan rumah, Chile pada jam 7.15 pagi, sebelum menutup saingan kumpulan menentang juara bertahan, Belanda pada 6 Disember (2.45 pagi).
Mengulas persiapan pasukan, Pengurus Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan, Dato’ Hj. Mohd Sayuti Abdul Samat, menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan pemain yang kini semakin matang hasil persiapan rapi serta pengalaman menentang kelab Jiangsu dari China baru-baru ini.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek motivasi menjadi keutamaan dalam memastikan moral pemain berada pada tahap terbaik sepanjang kempen piala dunia itu.
“Saya berharap pemain-pemain dapat bermain dengan baik setelah sekian lama berlatih. Baru-baru ini mereka telah didedahkan dengan pengalaman bermain bersama kelab Jiangsu China. Jadi ia adalah belakan yang sedikit sebanyak boleh membantu mereka di Santiago nanti. Saya juga berharap pasukan dapat ke pusingan kedua dan seterusnya. Melihat kepada semangat yang dipamerkan, saya percaya mereka boleh berbuat demikian.
“Seperti biasa semasa mesyuarat pasukan, saya tidak henti-henti memberi kata-kata dorongan bagi meningkatkan semangat mereka. Saya juga telah beritahu mereka agar buktikan sesuatu dan cipta sejarah di JWC ini kerana selama ini tiada siapa yang memberi harapan kepada pasukan ini,” katanya.
Pencapaian skuad remaja negara ke kejohanan berprestij itu hadir dengan penuh makna apabila mereka layak secara merit buat pertama kali dalam sejarah selepas menamatkan cabaran Piala Remaja Wanita Asia 2024 di tempat kelima.
Kejayaan itu, sekali gus menjadi bukti perkembangan positif generasi pelapis hoki wanita tanah air.
Pasukan yang dibarisi 20 pemain itu turut mempertaruhkan pemain berusia 15 tahun, Nur Zariefah Dania Mazlan, iaitu pemain paling muda manakala sembilan dari jumlah berkenaan, berumur 21 tahun.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan, Lailin Abu Hassan, mengakui cabaran di Kumpulan A bukan tugas mudah apabila berdepan tiga pasukan gergasi dunia.
“Jika dilihat secara realistik pada kumpulan kita di Piala Dunia Remaja Wanita ini, ada Belanda juara bertahan, Chile tuan rumah dan Jepun tempat ketujuh pada edisi lepas. Jadi memang sangat sukar untuk kita lepasi peringkat kumpulan.
“Kita akan cuba dapatkan tempat tiga terbaik dalam kumpulan supaya kita tidak bermain dalam kumpulan bawahan pada pusingan kedua.
“Memandangkan pasukan kita kurang pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, saya mensasarkan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik di JWC 2025,” jelasnya.
Beliau dalam masa sama menuntut komitmen sepenuhnya daripada setiap pemain Young Tigress agar tampil dengan karakter yang mampu memberi kejutan di pentas dunia.
“Saya sangat berharap semua pemain dapat tunjukkan permainan yang berdisiplin, berani, ada semangat berpasukan, mentaliti pantang menyerah, semangat untuk menang dan tidak beri belas kasihan dalam setiap perlawanan.
“Walaupun kita pasukan kecil, saya mahu kita bersinar dan meninggalkan kenangan manis di JWC 2025,” ujarnya.
Untuk rekod, pemilihan pemain berlangsung dengan tapisan ketat, di mana pada fasa pertama, seramai 40 pemain dipanggil sebelum senarai itu dikecilkan kepada 30 pemain pada fasa kedua.
Memasuki fasa ketiga, jumlah tersebut disaring lagi menjadi 25 pemain, dan akhirnya senarai 20 pemain diumumkan sejurus pasukan pulang dari Jejalah China, baru-baru ini.











