Young Tigress Tewas Kepada India

Skuad hoki remaja wanita negara terpaksa akur dengan kehebatan pasukan gergasi Asia, India selepas tewas 0-5 dalam perlawanan kedua Kumpulan A pada Piala Remaja Wanita Asia 2024 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, lewat tengah malam tadi (waktu Malaysia).   Walaupun tewas, pengalaman bertemu juara bertahan itu pastinya cukup berharga untuk Young Tigress membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap pada masa depan.   Sekurang-kurangnya pada pertemuan itu, anak-anak buah Lailin Abu Hassan berusaha keras mempamerkan persembahan berdisiplin tinggi apabila berjaya mengekang India membolosi pintu gol mereka pada separuh masa pertama.   Namun begitu, Young Tigress tidak mampu mengekalkan prestasi konsisten sebaik permainan disambung semula pada separuh masa kedua apabila gawang mereka akhirnya dibolosi pada minit ke-32 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Vaishnavi Vitthal Phalke.   India yang terus mengasak benteng pertahanan Malaysia sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti yang membuka laluan kepada jaringan kedua melalui Deepika pada minit ke-37.   Barisan muda negara yang semakin hilang fokus, terpaksa menyaksikan gawang mereka terus ditembusi dan kali ini menerusi gol padang Kanika Siwach hanya berselang seminit selepas gol kedua India.   Jaringan keempat dan kelima India dijelmakan melalui penalti stroke serta pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Deepika yang mencipta hatrik pada minit ke-39 dan ke-48.   Lailin dalam kenyataannya selepas perlawanan berakhir berkata, para pemainnya telah mempamerkan persembahan yang baik pada dua suku pertama perlawanan.   "Kita tidak membuka ruang kepada India untuk menjaringkan gol, tetapi, gara-gara hilang fokus pada suku ketiga sehingga gagal mengekang pergerakan pemain lawan menjadi punca kita dibolosi.   "Akibatnya India berjaya membolosi pintu gol kita sebanyak lima kali dalam tempoh yang singkat," katanya.   Justeru, beliau mahu anak-anak buahnya belajar daripada kesilapan itu menjelang pertemuan dengan Bangladesh.   "Kita tidak seharusnya mengambil mudah Bangladesh meskipun mereka menjadi pasukan belasahan dalam perlawanan terdahulu.   "Mereka mempunyai tiga atau empat pemain yang boleh menghadirkan masalah jika kita tidak mengambil serius cabaran yang mampu Bangladesh jelmakan nanti," ujarnya.   Dengan satu kemenangan dan kalah sekali menyaksikan Young Tigress kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata, manakala, China dan India yang berkongsi enam mata dipisahkan dengan perbezaan jaringan untuk masing-masing menghuni tempat pertama serta kedua.   Pada Rabu dan Khamis, Malaysia akan turun beraksi menentang Bangladesh serta China bagi melengkapkan jadual saingan peringkat kumpulan.   Sekiranya berhajat mara ke separuh akhir, skuad bimbingan Lailin itu perlu memastikan kemenangan menjadi milik mereka dalam baki dua perlawanan tersebut dengan aksi berdepan China bakal menjadi satu misi sukar kerana negara itu antara pasukan pilihan untuk merangkul gelaran.