Dua penjaga gol, Muhammad Zaimi Mat Deris dan Adrian Andy Albert bakal memperkuatkan skuad hoki lelaki negara yang akan berangkat ke Hulunbair, Inner Mongolia, China bagi menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2024 pada 8-18 September ini.
Pada edisi tahun lalu, Speedy Tigers muncul sebagai naib juara selepas tewas tipis 3-4 ditangan India dalam perlawanan akhir di Chennai, India.
Zaimi ketika ditemui selepas sesi latihan bersama pasukan kebangsaan, hari ini, berkata, dia berazam untuk menebus kehampaan tersebut.
“Saya masih ingat lagi kami tewas tipis pada tahun lalu selepas mendahului pada awal permainan.
“Untuk edisi kali ini di Hulunbair saya berjanji tidak akan membiarkan ‘pisang berbuah dua kali’ dan akan bekerja keras bagi membantu Malaysia memburu kejuaraan,” katanya.
Anak jati Terengganu berusia 27 tahun itu memberitahu, kali ini, persediaan yang dilakukan Speedy Tigers sangat rapi untuk ke Hulunbair.
Jelasnya, dia dan rakan sepasukan yang lain telah menyertai Jelajah Eropah, baru-baru ini dan amat berharap pendedahan yang diterima sepanjang berada di sana dapat menyuntik elemen yang berbeza dalam percaturan strategi permainan Speedy Tigers.
“Saya tahu kami bakal berdepan laluan yang sukar sepanjang di Hulunbair nanti, tetapi saya bertekad untuk membantu Malaysia bagi mengekang asakan-asakan lawan,” ujarnya yang diberi kepercayaan mengawal gawang Malaysia oleh jurulatih skuad kebangsaan, Sarjit Singh sepanjang di Eropah.
Sementara itu, bagi rakan seperjuangan Zaimi, Adrian pula memberitahu, kepercayaan yang diberi Sarjit kepadanya amat dia hargai dan berjanji untuk memberikan aksi terbaiknya bersama Speedy Tigers.
“Kejohanan Trofi Juara-Juara merupakan penampilan antarabangsa pertama saya selepas Kejohanan Dunia di India, tahun lepas.
“Saya teruja untuk ke Hulunbair dan saya akan bermain sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan yang diberi jurulatih,” kata penjaga gol berusia 27 tahun itu.
Ketika ditanya tentang aksi pembukaan Malaysia yang akan berdepan Pakistan, menurut anak jati Papar, Sabah itu, dia yakin Malaysia mampu mengharungi perlawanan tersebut dan misi wajib menang perlu dicatat Speedy Tigers pada pertemuan itu nanti.
“Biasanya dalam perlawanan pertama memang sukar kerana kita baru hendak menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan.
“Tetapi Malaysia perlu memburu tiga mata penuh kerana kemenangan itu nanti akan memberi suntikan moral untuk berdepan lawan berikut,” jelasnya yang beraksi bersama-sama Zaimi sejak di peringkat remaja lagi.