Skuad Wanita Negara Bermula Langkah Kiri

Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2023 yang membuka tirai hari ini di Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf Hockey Stadium Ranchi, India menyaksikan Skuad Wanita Kebangsaan tewas 0-3 kepada Jepun.

Walaupun tewas pada aksi pembukaan, pujian harus diberikan kepada Skuad Wanita Negara yang berjaya untuk menidakkan sembilan dariapda 11 pukulan sudut penalti yang dimiliki lawan.

Jepun menjaringkan tiga gol menerusi dua pukulan sudut penalti masing-masing dijaringkan oleh Rika Ogawa pada minit ke-13 dan Shiho Kobayakawa pada minti ke-54 sementara satu gol gerakan padang disumbangkan oleh Mai Toriyama pada minti ke-43.

Pengendali Skuad Wanita Negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, menjelaskan, rasa gugup yang dimiliki oleh pemain-pemainnya pada awal permainan adalah kelemahan yang perlu diatasi dengan cepat selain mengharapkan pemain cepat menyesuaikan diri dengan permainan.

“Tidak dinafikan pasukan Jepun sangat berpengalaman beraksi di pentas tertinggi seperti Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik dan kami telah menjangkakan tentangan yang hebat akan mereka berikan kepada kami.

“Kami tidak tewas dengan jumlah bolos yang besar, bagaimanapun perlu ada satu penambahbaikan yang dilakukan terutamanya tahap keyakinan pemain kerana mereka tampak gugup namun pemain berjaya meraih keyakinan dari semasa ke semasa ketika dalam perlawanan.

“Dari sudut bertahan ketika pukulan sudut penalti, kami telah melakukan sesi video untuk membaca taktikal mereka dan kami berjaya mengekang kebanyakan pukulan sudut penalti lawan.

“Ini satu petanda yang baik apabila kami berjaya untuk menidakkan deretan kelebihan pukulan sudut penalti lawan.

“Saya amat berharap pemain muda akan lebih menyerlah bagi aksi yang akan datang terutamanya perlawanan dengan tuan rumah, India.

“Untuk pertemuan dengan India, kami akan melakukan satu perancangan yang lebih teliti memandangkan lawan kami adalah pasukan di ranking tertinggi selain mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.

“Apa yang penting ketika ini adalah proses pemulihan pemain dan persediaan yang kami lakukan untuk berdepan India,” jelas beliau.

Malaysia akan turun untuk aksi kedua bertemu tuan rumah, India, esok (Sabtu -28 Oktober) jam 11:00 malam, waktu Malaysia.