Piala Sultan Johor: Malaysia Tewas Kepada New Zealand

Malaysia terlepas peluang untuk melakar kemenangan pertama di kejohanan hoki bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 selepas tewas tipis 2-3 kepada New Zealand di Stadium Hoki Taman Daya.

Turun sebagai tuan rumah, New Zealand terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi gol pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Luke Aldred.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Young Tigers kembali mengatur gerakan dan hanya memerlukan seminit untuk menyamakan kedudukan hasil ledakan kapten pasukan negara Muhamad Faris Harizan menerusi penalti stroke.

Namun, sebelum suku pertama berakhir New Zealand kembali mendahului hasil jaringan Scott Cosslett yang menyudahkan pukulan sudut penalti.

Pada suku kedua, Skuad Remaja Kebangsaan meningkatkan tempo permainan untuk memberi tekanan kepada New Zealand.

Hasil tekanan itu, Malaysia berjaya bangkit sekali lagi mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan Faris Harizan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Memasuki suku ketiga, giliran James Hickson mencetak nama sebagai penjaring untuk kembali meletakkan New Zealand mendahului pada minit ke-33.

Skuad remaja negara berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun dinafikan dengan kecemerlangan penjaga gol New Zealand, Luke Elmes.

Bermula suku keempat, Malaysia meningkat intensiti permainan sehingga memaksa New Zealand untuk lebih banyak bertahan agar tidak dibolosi apabila menerima serangan bertali arus daripada tuan rumah.

Usaha keras Skuad Remaja Negara bagaimanapun tidak berhasil untuk mencari gol penyamaan sekaligus terpaksa menerima kekalahan tersebut.

“Secara keseluruhan kita agak kurang bernasib baik, kita gagal untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dalam perlawanan malam ini.

“Apa pun ada banyak perkara positif pemain telah lakukan sepanjang perlawanan hari ini dan kita kena lihat kembali serta analisa kesilapan-kesilapan yang kita lakukan supaya kita dapat perbaiki pada perlawanan yang akan datang, menentang India esok.

“Mengenai pukulan sudut penalti, kita banyak memberikan kepada pihak lawan dan kita hanya melepaskan dua dan yang lainnya kita berjaya bertahan secara berkumpulan.

“Jadi sekarang kita tidak boleh membenarkan pihak lawan mendapatkan pukulan sudut penalti dan elemen itu kita perlu lihat dan kaji semula untuk tidak beri lebih banyak kepada pihak lawan,” kata ketua jurulatih Muhamad Amin Rahim.

Esok, Malaysia akan menentang juara bertahan, India pada perlawanan kedua Kumpulan B pada pukul 8.35 malam di Stadium Hoki Taman Daya.