LEGENDA hoki negara, Datuk Poon Fook Loke mencabar pemain muda negara untuk mengulangi episod bersejarah yang terpahat pada 1979, 1982 dan 2013 menjelang kancah Piala Dunia Remaja (JWC) yang bermula Selasa ini.
Pada tiga edisi tahun berkenaan, skuad negara berjaya melangkah ke separuh akhir dan menghuni tempat keempat secara keseluruhan.
Beliau beranggapan ini adalah satu detik terbaik bagi mengulangi kejayaan sama – tambahan anak didik Muhamad Amin Rahim akan bermain di hadapan sorakan penyokong setia mereka di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
“Pasukan negara kita sudah banyak kali memberi persembahan terbaik sebagai tuan rumah dan berdasarkan hakikat itu saya mahu pemain muda kita bangkit penuh bersemangat di tempat sendiri.
“Penyokong kita sentiasa memberi sokongan padu kepada pemain negara dan senario ini, saya percaya akan kekal sama kali ini,” katanya.
Fook Loke tidak perlu diperkenalkan kerana merupakan penyerang legenda popular yang membantu skuad senior negara layak ke separuh akhir Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.

Dia berpeluang untuk beraksi pada dua temasya Sukan Olimpik, tiga Piala Dunia, Sukan Asia dan juga dipilih dalam skuad Asian All Stars pada 1974 dan skuad Dunia XI (1982).
Pada malam Khamis dia hadir memberi ucapan inspirasi kepada pemain remaja kita selepas tamat perlawanan persahabatan menentang skuad senior negara bimbingan A. Arulselvaraj.
Kedua-dua pasukan negara seri 1-1. Turut hadir adalah pengurus pasukan skuad senior, Datuk Mirnawan Nawawi yang bergambar dengan legenda itu.
“Hari ini saya melihat skuad remaja berjaya memberi tekanan kepada pasukan abang mereka. Mereka mendahului 1-0. Apa yang saya gembira mereka berjaya menghalang enam percubaan pukulan sudut penalti daripada skuad senior. Ini satu petanda baik.
“Ini menunjukkan satu kemajuan sudah dilakukan selepas mereka pulang dari Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJ), awal bulan lalu.
“Apa pun, skuad remaja juga tidak harus mensia-siakan peluang jaringan yang mudah. Jika anda tak jaring gol anda tidak boleh menang,” katanya memuji sifat dan perwatakan pemain muda yang mahu berjaya.
Fook Loke percaya pasukan remaja kali ini mampu mengorak langkah jauh di kejohanan dan minta semua pihak usah mudah mengkritik pemain, sebaliknya bersama-sama bantu mereka dan beri semangat pada saat-saat penting seperti ini.
“Saya percaya mereka sudah bertambah baik selepas pulang dari SOJ. Di Johor Bahru, mereka mensia-siakan banyak peluang jaringan dan juga kurang aspek kecergasan serta kelajuan. Tapi ada perubahan dapat dilihat pada ketika ini,” katanya.
Skuad negara akan bertemu Chile dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C pada 5 Disember ini. Pasukan lain dalam kumpulan sama adalah juara bertahan, Argentina dan juara 1997, Australia.
Ends









