PADA hari terbaik mereka, Argentina adalah pasukan yang amat sukar untuk dibendung pihak lawan.
Dalam kancah Piala Dunia Remaja (JWC) kali ini, juara bertahan itu hadir selaku antara pilihan bersama Jerman dan Australia. Jelas sekali mereka menepati status itu pada edisi ke-13 kali ini.
Ketua pasukan, Inaki Minadeo tidak ragu-ragu menjawab apabila ditanya matlamat mereka ke Kuala Lumpur.
“Ya, hajat kami ke sini adalah untuk mempertahankan mahkota kejuaraan yang dimenangi di Bhubaneswar (India) pada 2021.

“Kami sudah membuat persiapan selama dua tahun untuk misi ini dan masih ghairah memburu satu lagi gelaran,” kata pemain tonggak di benteng pertahanan pasukan itu.
Minadeo, 20, yang berasal dari Buenos Aires juga bukan calang-calang pemain yang menyumbat enam gol ketika Kejohanan Remaja Pan American di Barbados pada April lalu.

Argentina muncul juara di pentas kelayakan itu manakala Kanada dan Chile turut layak ke JWC 2023 selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dari zon berkenaan.
Selain Minadeo, empat lain pemain daripada skuad 2021 di India yang masih bersama pasukan adalah Joaquin Toscani dan Ignacio Nardolillo (pemain tengah), Mateo Fernandez (pertahanan) dan Bautista Capurro (penyerang).
“Pasukan kami seimbang dengan lima pemain senior dan pengalaman kami boleh bantu. Tapi kami juga akur pasukan lain juga difahamkan kuat dan kami perlu sentiasa waspada,” katanya.
Lebih menarik, juara bertahan itu juga membawa bersama mereka staf kejurulatihan yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Ketua jurulatih, Juan Ignacio adalah pakar pukulan sudut penalti di Rio manakala penolongnya, Ignacio Ortiz menyumbang gol ketiga ketika Argentina menewaskan Belgium 4-2 dalam final.
Pasukan dari Latin Amerika ini tiba di Kuala Lumpur dari Sydney dan kemudian turun menjalani sesi latihan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil walaupun diganggu cuaca buruk.
“Kami menempuh perjalanan jauh dari Buenos Aires ke Kuala Lumpur. Saya mengerti kami adalah juara bertahan tetapi ini adalah JWC yang baru bagi kami.
“Sudah pasti kami bukan pasukan pilihan. Kejayaan pada 2021 kini sudah berlalu. Ia sudah menjadi sejarah. Sekarang kami perlu bermain dengan baik dalam perlawanan untuk menang,” kata Ignacio yang berusia 44 tahun.
Ends









