ADA tiga elemen utama yang ditakrif bakal menjadi intipati kejayaan apabila skuad negara membuka kempen Piala Dunia Remaja (JWC) menentang Chile, Selasa ini.
Pada kaca mata ketua jurulatih, Muhammad Amin Rahim, semangat sepasukan, kepercayaan pada diri dan faktor pemain ke-12 iaitu sorakan menyokong boleh mengiringi cabaran Young Tigers sepanjang kejohanan 12 hari ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
“Kami sudah hampir membereskan segala kerja yang perlu bagi memantapkan jentera pasukan. Tapi apa yang saya mendalami pada saat ini adalah untuk menyerap erti semangat sepasukan dan juga kepercayaan pada diri dalam minda setiap individu.

“Satu lagi tonik tambahan diperlukan ketika ini juga peranan pemain ke-12 iaitu penyokong kita. Mereka boleh ubah arus permainan memihak pasukan dan kami amat memerlukan bantuan ini pada setiap perlawanan.
“Semua faktor ini amat penting apabila pemain saya melangkah turun ke gelanggang dalam kejohanan ini,” kata pengendali berusia 42 tahun itu pada sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Skuad Young Tigers membuka tirai perlawanan menentang Chile dalam saingan Kumpulan A, Selasa ini. Pasukan lain terbabit adalah juara bertahan, Argentina dan Australia.
Disebalik tersiratnya rasa yakin barisan negara ada kemampuan untuk mara jauh sehingga ke suku akhir kejohanan, pengendali pasukan itu tetap mahukan anak didiknya memberi fokus penuh kepada semua saingan peringkat kumpulan dahulu.
“Kita lihat Chile dulu. Ya, kami menewaskan mereka (2-1) juga dalam perlawanan peringkat kumpulan pada edisi 2012 di India.
“Tapi ini bukan satu ukuran ia akan berulang. Ini kejohanan baru dan bagi setiap pasukan perlawanan pertama memang amat sukar diharungi. Jika kita dapat menang barulah rentak dan mood berubah. Pemain akan menjadi lebih yakin bagi halangan berikut,” kata Amin.
Dia juga mengutarakan betapa faktor cuaca kali ini juga mampu memihak kepada kita dalam cabaran dan minta pemain mengaut kelebihan ini untuk mengilhamkan kemenangan nanti.
Sementara itu, kapten pasukan, Faris Harizan turut menunjukkan wajah postif pada sidang media dan berkata semua rakan sepasukannya sudah bersedia menyahut cabaran.
“Kami adalah satu pasukan yang seimbang dan setiap pemain menunjukkan komitmen tinggi dan sifat rajin untuk berjaya.
“Kami tidak ada istilah pemain senior atau remaja dalam pasukan. Semua pemain adalah sama. Kami bergerak sebagai satu unit dengan menggalas tugasan membantu kejayaan pasukan,” katanya.









