JERMAN LABEL MALAYSIA ‘BUMI BERTUAH’

JERMAN mahu lakar sejarah sendiri dan memilih Malaysia sebagai ‘bumi bertuah’ bagi misi mereka.
Juara Piala Dunia Remaja (JWC) enam kali ini tidak sabar mahu turun beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan pulang merakamkan satu lagi detik gemilang.
Pada 2002, skuad senior mereka menjulang trofi Piala Dunia di gelanggang yang sama dan kini barisan remaja mahu mengikut jejak langkah itu.
Dalam JWC, Jerman muncul juara tiga kali pada 1982 (Kuala Lumpur), 1989 (Ipoh) dan 2009 (Johor Bahru).
“Bumi Malaysia amat bertuah bagi kami. Jerman kerap memberi persembahan terbaik di sini dan menang gelaran besar dunia.
“Pemain muda saya mengerti sejarah pencapaian pasukan mereka di sini dan bersedia mahu menyambung usaha baik itu untuk meraih gelaran kali keempat.
“Untuk itu kami bertekad mahu melepasi saingan peringkat kumpulan dan ke suku akhir sebelum mengintai slot ke final,” kata ketua jurulatih, Rein van Eijk dalam sidang media pada Sabtu.
Jerman juga adalah pasukan dengan rekod megah apabila berjaya naik ke podium pada setiap kejohanan JWC sejak 1979 kecuali pada 2005 di Rotterdam.

Ketua jurulatih, Rein van Eijk bersama kapten pasukan, Matteo Poljaric.

Hajat mereka juga bukan satu omongan kerana hadir dengan lima pemain tonggak yang sudah beraksi bersama skuad senior negara di JWC 2021 di Bhubaneswar, India, awal tahun ini.
Mereka adalah ketua pasukan, Matteo Poljaric yang juga pemain tengah yang menyerang, Aron Flatten, Luis Hochemer (tengah), Anthues Barry (pertahanan) dan Michel Struthoff (penyerang).
“Pengalaman mereka yang kerap bersama skuad senior akan banyak membantu kami. Malah, hampir semua pemain remaja kami sudah dapat merasai pengalaman berlatih bersama skuad utama negara.
“Suasana dalam pasukan amat baik ketika ini dan rata-rata pemain kami cukup cergas kali ini. Ini yang mula memberi kami satu keyakinan baru,” kata van Eijk.
Jerman diundi dalam Kumpulan B bersama Perancis, Afrika Selatan dan Mesir dan diramal mampu menjuarainya. Mereka menentang Afrika Selatan dalam perlawanan pertama, Selasa ini.

Pasukan Jerman yang muncul juara Piala Sultan Johor (SOJ) di Johor Bharu pada 6 November lalu.

Pengendali pasukan itu juga beranggapan selain Jerman, pasukan pilihan lain yang mampu muncul juara adalah Australia, Belanda, Argentina, selaku juara bertahan selain Perancis dan India.
“Tapi masih ada pasukan lain boleh melakukan kejutan kerana dalam JWC apa saja boleh berlaku. Kami akan memberi fokus satu demi satu perlawanan,” katanya.
Dia turut memuji kemampuan tuan rumah, Malaysia yang pada tanggapannya boleh menjelmakan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.
“Malaysia nampak bertambah baik. Mereka ada kelebihan. Faktor cuaca turut boleh membantu mereka kali ini walaupun berada dalam satu kumpulan sukar,” tambahnya.
Tidak dinafikan Jerman adalah pasukan paling dicemburui oleh 15 pasukan lain dalam kancah kejohanan ini dan bagi pihak berkecuali nama negara ini mudah terbit dari mulut mereka apabila ditanya siapa bakal juara.