PERANCIS KEJUT SEPANYOL KE FINAL

KEPUTUSAN
SEPARUH AKHIR II
PERANCIS…….2 SEPANYOL……1

PERANCIS memperagakan corak permainan mudah tapi efektif ketika lawan mereka, Sepanyol bergelut mencari rentak terbaik dalam saingan separuh akhir Piala Dunia Remaja (JWC).

Habuannya, pemenang pingat gangsa pada 2021 itu layak ke final bagi edisi ke-13 kali ini selepas menewaskan lawan mereka 3-1 di Stadium
Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ini adalah kali kedua Perancis mara ke perlawanan akhir selepas JWC 2013 di New Delhi.

Dalam penentuan kejuaraan Sabtu ini, Perancis akan berentap dengan juara enam kali, Jerman yang menewaskan India 4- 1 dalam satu lagi perlawanan peringkat sama.

Perancis mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan pukulan sudut penalti Brieuc Delemazure tapi Sepanyol kembali dalam saingan dengan gol penyamaan minit ke-15 sumbangan Aleix Bozal.

France players celebrate their 3-1 win over Spain in the semifinals of the JWC at the National Hockey Stadium tonight

Selepas rehat, dua lagi gol menyusul daripada Stanislas Branicki (minit ke-33) dan Louis Haertelmeyer (minit ke-42) untuk mengesahkan tiket berharga bagi Perancis hadir sekali dalam final.

APA KATA MEREKA
Matthias Dierckens (ketua jurulatih Perancis)
“Saya gembira atas kejayaan pasukan ke final buat kali kedua. Tapi saya kurang puas hati dengan cara pemain bertindak. Mereka agak lambat dan hambar, khususnya pada babak pertama.
Secara jujur saya tidak berfikir mengenai final menentang Jerman. Tapi saya anggap ini satu final yang sempurna bakal disaksikan. Jerman adalah pilihan dan walaupun kami menang mengatasi mereka dalam saingan peringkat kumpulan (2-0), mereka akan hadir lebih kuat dalam final.”

Oriol Torras Puig (ketua jurulatih Sepanyol)
“Ini adalah antara persembahan terburuk kami. Perancis jelas lebih baik daripada kami dalam hampir semua aspek permainan hari ini. Saya ucapkan syabas kepada mereka.
Sekarang kami perlu memulihkan diri dan memberi fokus kepada perlawanan merebut pingat gangsa. Itu keutamaan kami. India adalah barisan yang pantas dan juga fizikal. Kedua-dua pasukan ini akan bermain 100 peratus nanti.”