KEPUTUSAN
(Penentuan tempat ke-11/12)
MALAYSIA………….2 NEW ZEALAND………2
(New Zealand menang 4-3 penalti shoot-out)
TIADA apa yang perlu dimalukan oleh skuad hoki negara disebalik kekalahan kepada New Zealand menerusi penentuan shoot-out, 4-3 dalam satu saingan penuh dramatik, petang ini.
Keputusan itu – selepas kedudukan masa penuh permainan terikat 2-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil – meletakkan pasukan remaja kita untuk menghuni tempat ke-12 secara keseluruhan dalam saingan 16 negara pada kejohanan kali ini.
Status itu juga menyamai pencapaian kita pada edisi 2001 (Hobart) dan 2009 (Johor Bahru).
Pujian harus diberikan kepada dua watak pasukan negara iaitu penjaga gol, Muhammad Danish Afnan yang menggantikan Mohamed Rafaizul Saini dan penyerang, Shamsul Shamir yang menyamakan kedudukan.
Tidak dinafikan Danish tampil dengan aksi cemerlang dan berjaya menyelamatkan kubu negara ketika lawan nyaris menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol pada babak kedua.
Shamsul Shamir pula hadir selaku penyelamat pasukan dengan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki tiga minit sebelum tamat. Keputusan perlawanan diheret ke penentuan shoot-out.
Turun ke gelanggang mahu menyambung momentum sama ketika menentang Belgium tempoh hari, anak didik Muhammad Amin Rahim bergerak padu tapi lawan lebih pantas apabila mendahului seawal minit keempat.
Apapun gol hasil pukulan sudut penalti sumbangan Luke Aldred tidak mengejutkan pasukan tuan rumah kerana selang dua minit kemudian kedudukan berubah 1-1 buat mencetus sorakan penyokong.
Entah kenapa, sejurus selepas itu kawalan menjadi longgar dan kealpaan benteng pertahanan melihat New Zealand kembali mendahului 2-1 hasil jaringan Sam Lints, minit ke-9.
Selepas rehat, ada sifat agresif ditunjukkan Young Tigers dengan menekan kubu lawan. Cuma penyudahan hambar menyelamatkan New Zealand yang dipaksa mengawal benteng mereka.
Pertukaran penjaga gol skuad negara juga memberi impak apabila berjaya menyekat gempuran lawan. Muhammad Danish an Faizal yang menggantikan Mohamad Rafaizal Saini berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya dua percubaan bahaya pihak lawan.
Ketika kemenangan tampak seperti mahu memihak lawn, skuad negara kembali bernyawa dengan satu jaringan padu Shamsul Shamir ketika permainan berbaki tiga minit mahu ditamatkan.
APA KATA MEREKA
Muhammad Amin Rahim (ketua jurulatih Malaysia)
“Saya gembira dengan satu lagi persembahan terbaik daripada pemain saya, hari ini. Tapi, secara ikhlas saya kecewa gagal mencapai status tempat ke-10. Pasukan ini ada potensi dan boleh menyerlah jika mantapkan aspek fizikal dan asas permainan ke tahap lebih tinggi.”
Muhammad Danish Afnan (penjaga gol negara)
“Saya berterima kasih kepada jurulatih yang memberi saya peluang bermain pada babak kedua. Saya membulatkan tekad untuk memberi persembahan terbaik. Saya gembira dengan persembahan saya tapi amat sedih gagal bantu pasukan kita menang.”
Shamsul Shamir (penyerang skuad negara)
“Dalam keadaan pasukan negara amat perlukan gol penyamaan saya berada pada kedudukan baik. Saya tidak fikir apa-apa, cuma mahu memukul deras dan lega ia masuk gawang lawan. Tapi saya sedih gol itu tidak bantu pasukan menang tempat ke-11.”
Aaron Ford (ketua jurulatih New Zealand)
“Kami percaya boleh melakukannya dan berjaya melaksanakan tugasan dengan baik. Malaysia juga barisan hebat hari ini yang memberi kami cabaran penuh sehingga tamat saingan. Tempat ke-11 bukan sesuatu yang menggembirakan tapi kami terima saja.”