KEPUTUSAN
(Penentuan tempat ketiga)
INDIA………………..1 SEPANYOL…….3
GEMPURAN pada lewat babak pertama membutirkan hasil buat Sepanyol yang menewaskan juara dua kali, India 3-1 dalam saingan pingat gangsa, malam ini.
Ini juga pingat yang kedua bagi pasukan remaja ranking ke-6 dunia itu selepas pencapaian sama pada edisi 2005 di Rotterdam.
Nicolas Alvarez yang menyumbat dua gol pada setiap babak permainan harus dijulang selaku wira pasukan.
India yang bagai hilang pedoman dalam permainan gagal menandingi lawan kecuali dengan sumbangan gol sagu hati pada awal babak pertama.
Perlawanan ini juga dimulakan lewat sejam daripada jadual asal jam 6 petang selepas gangguan hujan lebat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Babak pertama bermula agresif dengan kedua-dua bergerak mencari cengkaman awal. India yang mendapat sorakan padu penyokong mereka hadir dengan hajat mahu membalas dendam kekalahan 1-4 kepada lawan dalam saingan Kumpulan C pada 7 Disember lalu.
Namun, Sepanyol yang mendahului pada minit ke-25 hasil jaringan padang Nicolas Alvarez tapi India kembali menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian hasil pukulan sudut penalti Sunil Jojo.
Selepas rehat, Sepanyol lebih gigih dan India macam mahu mencari rentak mengimbangi cabaran. Lawan menghukum benteng juara Asia itu dengan tambahan dua lagi gol pada minit ke-40 menerusi Pau Petchame dan Alvarez menyumbang gol keduanya malam ini dengan tolakan padu minit ke-51.
Oriol Torras Puig (ketua jurulatih Sepanyol)
“Kami menang selepas aksi terbaik pada babak kedua. Kemenangan pingat gangsa bagi pasukan adalah sungguh menakjubkan. Semua pemain bermain penuh bersemangat untuk capai tempat ketiga. Kami akan berehat dan menikmati kejayaan ini sebelum pulang ke tanah air.”
Nicolas Alvarez (Pemain Sepanyol)
“Saya amat gembira pada saat ini. Dua gol peribadi saya dan Sepanyol menang pingat gangsa. Saya dan rakan sepasukan bermain bermatian-matian mahu berjaya dalam perlawanan ini dan lega kami dapat mencapai sasaran itu.”
C R Kumar (ketua jurulatih India)
“Kami bermain baik sehingga minit ke-13, selepas itu kami mendapat tekanan pihak lawan. Percubaan pukulan sudut penalti kami juga kurang berhasil.
Apa yang membezakan kami dengan Sepanyol adalah pihak lawan memiliki pengalaman dan bermain sebagai satu pasukan. Mereka berjaya mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan. Kami juga kurang bernasib baik dalam beberapa percubaan, termasuk satu yang terkena tiang.”