Kelayakan Olimpik 2024 (Wanita) : Malaysia Ke Penentuan Tempat Ke-7 dan Ke-8

Skuad Wanita Kebangsaan akan beraksi di perlawanan penentuan tempat ke-7 dan ke-8, Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Wanita) Valencia, Sepanyol, selepas tewas 0-3 kepada Korea dalam aksi klasifikasi kedudukan 5 hingga 8 yang berlangsung hari ini.

Pengendali Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan barisan pemainnya telah mununjukkan peningkatan yang ketara daripada satu perlawanan ke satu perlawanan sebagai satu pasukan dan banyak perkara positif yang diperlihatkan oleh anak-anak buahnya.

“Saya harus memberi pujian kepada pemain-pemain kerana telah memberikan satu persembahan yang amat baik terutamanya pemain senior dan dibantu oleh pemain-pemain muda.

“Dapat dilihat pasukan Korea amat sukar untuk menembusi bahagian pertahanan kami dan kami turut berpeluang untuk melakukan serangan serta mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Sedikit kelekaan yang berlaku dalam separuh masa kedua menyebabkan Korea berjaya menjaringkan gol. Beberapa kekurangan yang telah dikenalpasti perlu diperbaiki terutamanya menjelang perlawanan terakhir tempat ke-7 dan ke-8.

“Saya berharap pemain akan memberikan sehabisnya yang dimiliki meraka kerana pasukan ini amat berpotensi untuk menyerlah di pentas antarabangsa,” ujar beliau.

Pertemuan menentang Korea yang merupakan perlawanan keempat Malaysia dalam kempen ini pastinya istimewa buat Kapten Pasukan Wanita Kebangsaan, Juliani Mohamad Din yang mencipta serajah sebagai pemain wanita kebangsaan berjaya membuat penampilan ke-200 bersama pasukan Malaysia.

“Syukur Alhamdulillah saya mencapai caps ke-200 untuk perlawanan hari ini dan saya telah bersungguh-sungguh memberikan sehabis baik untuk perlawanan ini kerana ia sangat bermakna untuk bermain perlawanan ke-200 bersama Malaysia.

“Sebagai kapten pasukan, apa yang saya lihat mengenai pasukan saya, kami ke kejohanan ini dengan kebanyakkan pemain adalah pemain muda. Tetapi satu demi satu perlawanan mereka telah menunjukkan peningkatan.

“Saya yakin pasukan ini akan menjadi lebih baik dan bertambah baik pada masa akan datang kerana mereka kini dalam proses ke arah tersebut,” jelas kapten berusia 38 tahun itu.

Malaysia akan ke perlawanan penentuan terakhir kedudukan ke-7 dan ke-8 yang akan berlangsung pada Sabtu (20 Jan 24) jam 5:00 petang (waktu Malaysia) bertemu Kanada atau Ukraine.