The Speedy Tigers bakal beraksi di perlawanan klasifikasi 5 hingga 8 selepas keputusan seri 3-3 yang diraih pada aksi terakhir Pool A menentang Pakistan, Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Lelaki) Oman, tidak cukup untuk membawa mereka ke separuh akhir.
Keputusan itu juga sekaligus menutup pintu Malaysia untuk terus mencabar slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan Malaysia akan bertemu Chile pada Sabtu (20 Jan 24) jam 7:30 malam (waktu Malaysia) dalam perlawanan klasifikasi tersebut.
The Speedy Tigers telah memberikan segala-galanya pada aksi hari ini bermula dengan mereka hampir meraih gol pertama pada minit ke-9 menerusi gerakan padang Shello Silverius yang mencari Muhammad Syafiq Hassan namun lorongan bola tersebut berjaya dipintas pertahanan Pakistan.
Minit ke-11 gandingan serangan Malaysia sekali lagi hampir merobek gawang Pakistan namun kali ini bola pukulan Shello Silverius diselamatkan penjaga gol Pakistan, Abdullah Ishtiaq Khan.
Beberapa saat sebelum aksi suku pertama tamat, Malaysia memiliki peluang ketiga untuk memecah kebuntuan jaringan kali ini menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal namun percubaan tersebut mengenai tiang gol lawan.
Gol pembukaan Malaysia akhirnya hadir pada minit ke-20 selepas bola tolakan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berjaya disambut baik oleh Mohd Fitri Saari untuk beliau menyudahkan bola tersebut di sudut atas sebelah kanan pintu gol lawan.
Bagaimanapun kelebihan jaringan pendahuan tidak bertahan lama apabila selang tiga minit kemudian, Pakistan yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama menjaringkan gol penyamaan menerusi Sufyan Khan.
Beberapa saat sebelum tamat aksi separuh masa pertama, Malaysia kembali dihadapan apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama selepas set piece yang dirancang berjaya disudahkan oleh Azrai Aizad yang menyambut hantaran daripada Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk jaringan kedua Malaysia terhasil.
Tiga minit selepas suku ketiga bermula, Malaysia dikejutkan dengan gol penyamaan Pakistan yang dijaringkan oleh Kapten mereka, Ammad Butt untuk kedudukan kembali seimbang 2-2.
Malaysia terus menggandakan asakan bagi menjarakkan kembali kedudukan dan akhirnya Muhammad Firhan Ashari berjaya merobek gol Pakistan dengan melakukan pukulan deras untuk Malaysia kembali dihadapan pada minit ke-41.
Pakistan dilihat tidak berdiam dengan terus mengasak kubu pertahanan negara untuk mencari gol penyamaan dan minit ke-52 situasi kelam kabut dalam gawang negara digunakan oleh Waheed Ashraf Rana untuk menjaringkan gol penyamaan.
Usaha terakhir negara untuk cuba mendapatkan gol kemenangan dengan menggunakan “power play” menghadiahkan Malaysia dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-59.
Bagaimanapun kelebihan tersebut tidak berjaya membuahkan sebarang gol dan kedudukan 3-3 kekal menutup perlawanan sekaligus menutup pintu Malaysia untuk ke separuh akhir dan perjuangan ke Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.