Kelayakan Olimpik 2024 (Lelaki) : Speedy Tigers Akhiri Kempen Di Kedudukan Ke-5

The Speedy Tigers menutup kempen Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Lelaki) Oman, di kedudukan kelima selepas menewaskan Kanada 3-1 dalam penentuan shoot-out apabila perlawanan sebenar tamat tanpa sebarang jaringan.

Gol Muhammad Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada penentuan shoot-out memastikan Malaysia keluar sebagai pemenang dan sekali lagi hari ini, penjaga gol Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung hari ini, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit kelima selepas Mohd Fitri Saari dikasari di dalam kawasan gol Kanada, namun flik terus yang dilakukan oleh Muhammad Shahril Saabah sedikit tersasar keluar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Berselang lima minit kemudian, Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti berturut-turut namun kedua-dua  kelebihan tersebut masih tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.

Di suku kedua, Malaysia terus memiliki deretan peluang untuk mencetak gol pertama termasuk percubaan yang dilakukan oleh Mohd Fitri Saari pada penghujung suku kedua namun barisan jentera serangan negara masih buntu untuk mencipta satu penyudahan sempurna dan kedudukan 0-0 kekal menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, kedua-dua pasukan dilihat terus mengatur serangan untuk memecah kebuntuan jaringan. Kanada dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-41 namun postman negara, Faiz Helmi Jali berjaya menyelamatkan percubaan tersebut.

Beberapa saat sebelum aksi suku ketiga berakhir, Malaysia mempunyai pelung terbaik untuk meledak gol pertama selepas hantara bola Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal berjaya menemui Muhammad Shahril Saabah yang tidak dikawal di hadapan pintu gol Kanada. Bagaimanapun penyudahan Shahril Saabah yang cuba mencari sudut atas sebelah kanan pintu gol lawan sedikit tersasar melepasi atas pintu gol lawan.

Minit ke-50, sekali lagi gandingan Azrai Aizad dan Shahril Saabah hampir menjelmakan gol pertama Malaysia namun percubaan Azrai Aizad yang berada di hadapan pintu gol Kanada diselamatkan oleh penjaga gol lawan.

Malaysia terus memiliki peluang untuk menjaringkan gol dalam suku terakhir termasuk kelebihan pukulan sudut penalti namun flik Muhammad Razie Abd Rahim diselamatkan oleh postmen Kanada dan tindakan susulan Muhammad Marhan Mohd Jalil daripada bola muntah berjaya ditepis penjaga gol Kanada untuk perlawanan 60 minit ditutup tanpa sebarang jaringan.

Keputusan tersebut membawa perlawanan ke aksi shoot-out dan Malaysia berjaya mencatat kemenangan 3-1 dalam penentuan tersebut, sekaligus The Speedy Tigers mengakhiri perjalanan di Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 (Oman) dengan kemenangan.